KUALA LUMPUR: Pelaksanaan campuran biodiesel baharu dijangka menyaksikan diesel B12 mula berada di pam dalam tempoh sebulan sebagai langkah awal ke arah peningkatan adunan bahan api lebih mampan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini bersetuju meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15, namun dimulakan dengan pelaksanaan B12 bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import serta pasaran luar.
Beliau berkata, usaha meningkatkan kapasiti pengadunan itu sedang diperkukuh menerusi lawatan ke fasiliti berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan rantaian bekalan sedia ada.
“Berdasarkan pembentangan di peringkat kementerian dan juga asosiasi pengeluar, pelaksanaan ini boleh dicapai tanpa memerlukan peningkatan infrastruktur baharu, sebaliknya hanya melibatkan penambahbaikan dari segi operasi.
"Jangkaan awal menunjukkan dalam tempoh sebulan hingga sebulan setengah, pelarasan ini dapat diselesaikan dan diesel B12 boleh mula diperkenalkan," katanya dalam program Agenda AWANI, di sini pada Rabu,
Sementara itu, Akmal Nasrullah menjelaskan, bekalan diesel dengan campuran biodiesel tidak hanya disediakan oleh Petronas, sebaliknya turut membabitkan syarikat minyak lain termasuk Shell dan Petron.
Menurutnya, fasiliti pengadunan di Petronas Dagangan Berhad (KVDT) merupakan usaha sama antara syarikat terbabit, sekali gus memastikan bekalan biodiesel datang daripada sumber yang sama, dengan perbezaan hanya dari segi bahan tambahan yang digunakan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara dianggarkan sekitar 18 hingga 20 juta tan setahun, namun hanya kira-kira 500,000 tan digunakan bagi tujuan biodiesel ketika ini.
Beliau berkata, bagi mencapai tahap campuran B15, keperluan biodiesel dijangka meningkat kepada sekitar 800,000 tan, iaitu kira-kira empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran MSM negara.
"Dari segi kapasiti, loji biodiesel tempatan mampu menghasilkan sekitar 23 hingga 24 juta tan, namun kadar penggunaan ketika ini hanya sekitar 40 peratus, menunjukkan masih terdapat ruang untuk dimanfaatkan sepenuhnya," ujarnya.
Beliau menegaskan peningkatan kepada B15 dijangka dapat dilaksanakan tanpa memerlukan pembangunan infrastruktur baharu, sebaliknya bergantung kepada kecekapan operasi dalam proses pengadunan.