KENINGAU: Seorang bekas banduan yang pernah menjalani hukuman penjara selama 24 tahun membuktikan bahawa pendidikan mampu menjadi jalan keluar daripada kegelapan hidup.
Pada tahun 2001, ketika berusia 14 tahun, Dr Malik Yatam dijatuhi hukuman penjara sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) atas kesalahan membunuh majikannya.
Namun di sebalik masa silam yang gelap, beliau bangkit mengubah haluan hidup sehingga berjaya meraih pendidikan dari peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Menurut Dr Malik, beliau memilih untuk tidak terus dibelenggu masa lalu, sebaliknya melihat setiap peluang yang ada walaupun sekecil mana.
"Saya tidak hendak tengok masalah itu, sebab saya nampak masalah itu kalau tengok besar masalah ini, berbagai macam dan saya tidak hendak tengok.
"Saya buat macam masalah ini tidak wujud, saya cuma tengok peluang yang ada, walau seperti lubang jarum," katanya kepada wartawan sewaktu ditemui di kediaman beliau di Keningau.
Tambahnya, kekuatan dalaman dan kebergantungan kepada Tuhan menjadi antara faktor utama yang membantunya bangkit daripada kehidupan lampau.
Beliau turut menegaskan bahawa ilmu bukan sahaja membebaskan diri, malah mampu memberi manfaat kepada orang lain, khususnya dalam kalangan banduan.
"Dengan ilmu yang saya ada, saya boleh kongsikan kepada banduan-banduan lain, dan yang paling penting sebenarnya adalah kebebasan yang sebenar bagi saya adalah apabila kita dapat keluar daripada kejahilan," katanya lagi.
Kini selepas memperoleh pengampunan, Dr Malik bukan sahaja menikmati kebebasan fizikal, tetapi juga kebebasan daripada kejahilan yang selama ini membelenggu dirinya.
Dalam suasana menjelang Aidilfitri, peluang berkumpul bersama keluarga menjadi detik paling bermakna buat beliau selepas sekian lama terpisah.
Beliau menyifatkan momen tersebut sebagai peluang untuk menghargai masa bersama insan tersayang serta membina semula hubungan kekeluargaan yang sekian lama terpisah.
Sementara itu, ibunya, Lammin @ Nurhidayah Abdullah, meluahkan rasa lega apabila anaknya akhirnya kembali ke pangkuan keluarga.
"Saya rasa sangat senang hati dapat menyambut hari raya dengan fikiran yang tenang tanpa rasa risau lagi," katanya dengan gembira selepas penantian 24 tahun lamanya.
Kisah Dr Malik jelas membuktikan bahawa masa lalu tidak menentukan masa depan seseorang.
Dengan sokongan keluarga, kekuatan dalaman serta peluang kedua yang diberikan, perubahan itu bukan sesuatu yang mustahil.