Skip to main content

Malaysia

Dakwaan tahan sijil SPM pelajar di Senawang tak tepat - MB

SEREMBAN, 11 Mac -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media khas berkenaan pelaburan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aminuddin (foto) berkata perkara tersebut sepatutnya diselesaikan antara ibu bapa dan pihak sekolah tanpa melibatkan orang luar sehingga menjadi tular. -Foto fail/Bernama

SEREMBAN: Dakwaan sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seorang pelajar cemerlang di sebuah sekolah di Senawang di sini ditahan kerana kegagalan membayar yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah tidak tepat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tidak ada sebarang faedah menyekat sijil pelajar tersebut.

"Saya telah mengarahkan Setiausaha Akhbar saya untuk turun ke sekolah terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan sesi tersebut turut dihadiri pengetua dan Yang Dipertua PIBG sekolah.

“Isu yang timbul daripada video tular itu dilihat berpunca daripada sedikit salah faham dan kekeliruan maklumat antara pelajar dengan pihak sekolah serta PIBG selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata, perkara tersebut sepatutnya diselesaikan antara ibu bapa dan pihak sekolah tanpa melibatkan orang luar sehingga menjadi tular.

Ujarnya, ia bukan sahaja boleh memberikan gambaran negatif kepada pelajar, bahkan institusi pendidikan dan organisasi PIBG itu sendiri.

"Saya difahamkan, pelajar tersebut tidak pernah dipinggirkan atau dikecualikan daripada sebarang program-program kecemerlangan akademik yang dianjurkan pihak sekolah.

"Pelajar tersebut turut mempunyai rekod yang baik di sekolah. Soal komitmen ibu bapa, biarlah pihak sekolah berhubung dengan mereka. Saya yakin pihak sekolah sentiasa membantu pelajar untuk memastikan masa depan mereka cemerlang," katanya.

Justeru ujarnya, semua pihak diharap tidak memberikan respons negatif kepada pihak sekolah serta PIBG dan menilai semula isu terbabit dengan lebih bertimbang rasa.

Tambahnya, tidak ada sekolah yang sanggup melihat anak muridnya gagal serta tiada sebarang faedah menyekat sijil anak-anak.

"Rekod cemerlang SPM 2025 sekolah itu telah membuktikan pihak sekolah, PIBG dan Ibu bapa telah bertungkus lumus menaikkan prestasi anak-anak di situ.

"Pada tahun 2025, seramai 14 pelajar telah mendapat semua A berbanding dua orang pada tahun 2024. Lebih membanggakan, tahap disiplin anak-anak juga menunjukkan tahap yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya. -Sinar Harian

Must Watch Video