PUTRAJAYA: Sejumlah laporan polis telah dibuat berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa menyentuh wibawa para sahabat Nabi Muhammad SAW.
Sehubungan itu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan, Kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.
"Kenyataan oleh yang YB Pasir Putih telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini. Yang mana kenyataan yang menghina sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW itu dikecam keras oleh seluruh Jemaah Menteri dan tidak boleh diterima.
"Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa terdapat sejumlah laporan polis yang telah dan sedang dilaksana sedang dibuat. Maka, kita serah kepada pihak berkuasa (terutama) mungkin Majlis ataupun Jabatan Agama Islam yang berkaitan untuk lakukan siasatan," beliau berkata demikian dalam sidang media mingguannya di Putrajaya pada Rabu.
Sebelum ini, tular siri video memaparkan ceramah Nik Muhammad Zawawi mengeluarkan kenyataan yang didakwa menggambarkan empat sahabat Nabi Muhammad iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang melaksanakan amalan jahiliah sebelum memeluk Islam.
Nik Zawawi dilaporkan mengeluarkan kenyataan sedemikian semasa berucap di sebuah Majlis Ceramah Perdana: Rakyat Bangkit di Kuala Terengganu pada 8 Mei lalu.
Nik Zawawi kemudiannya menyatakan permohonan maaf atas ucapan tersebut dan mengakui bersikap kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut.