Skip to main content

Malaysia

Curi kabel MRT: MOT cadang KDN pinda undang-undang, hukuman lebih berat - Loke

PUTRAJAYA, 16 Mac -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke bercakap pada sidang media mengenai garis panduan penggunaan kenderaan de-controlled dan pick-up bagi membawa barangan secara sah dan selamat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kementerian Pengangkutan, Kuala Lumpur hari ini.  Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan (kiri) dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Loke (tengah) berkata kes kecurian kabel tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia berpotensi mengancam keselamatan orang ramai, malah menjejaskan operasi sistem pengangkutan awam. -Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar undang-undang sedia ada dipinda bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat dalam kes kecurian kabel Transit Aliran Massa (MRT).

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata kes kecurian kabel tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia berpotensi mengancam keselamatan orang ramai, malah menjejaskan operasi sistem pengangkutan awam.

“Kita telah mencadangkan kepada pihak KDN untuk meminda undang-undang sedia ada untuk memberikan hukuman yang lebih berat terhadap pencuri kabel ini.

“Ia bukan setakat kesalahan mencuri kabel tetapi (termasuk) kesalahan mengancam keselamatan orang ramai kerana kabel ini kemungkinan apabila dicuri, ia akan menyebabkan berlaku kemalangan dalam sistem pengangkutan awam negara. Jadi, ini satu kesalahan yang sangat serius,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke berkata beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung perkara itu pada Disember lepas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan KDN.

Isu kecurian kabel MRT yang dilaporkan sejak kebelakangan ini menyebabkan gangguan perkhidmatan selain menjejaskan urusan harian pengguna yang bergantung kepada pengangkutan awam itu.

Media melaporkan, empat suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya ditahan polis menerusi satu operasi baru-baru ini.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan memaklumkan tangkapan itu hasil risikan dan intipan yang digerakkan secara bersama oleh Unit Polis Bantuan Prasarana dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor.

Penahanan itu dibuat susulan laporan polis oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel yang berlaku berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lepas, menyebabkan gangguan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video