Skip to main content

Malaysia

Cuaca panas: Payung, air kelapa jadi pilihan pengunjung KL

Sumber: Astro AWANI
Dari kiri: Tanjir; Suhaimi dan keluarga; serta Kirillova.

KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang melanda ibu kota menyaksikan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjalankan aktiviti harian termasuk berkunjung ke tarikan pelancongan.

Tinjauan di sekitar pusat bandar mendapati ramai penduduk dan pelancong menggunakan payung sebagai perlindungan daripada terik matahari, selain membawa air mineral bagi mengelakkan dehidrasi.

Suhaimi Abu Bakar, yang dalam perjalanan pulang ke Melaka bersama keluarganya, berkata mereka tetap teruja merakam kenangan di beberapa lokasi menarik di ibu negara, walaupun berdepan cuaca panas terik.

Menurutnya, suhu lebih tinggi sejak kebelakangan ini memerlukan dia membuat persediaan tambahan terutama untuk anak-anak.

“Dalam dua tiga hari musim raya ini cuaca pun panas, jadi kita ada bawa persediaan untuk anak-anak termasuk saya. Kita bawa air, kipas dan juga payung. Cuaca terlampau panaslah kita rasa.

“Saya dari Perak semalam, cuaca di Perak pun panas juga, sama macam di KL. Tak ada perubahan, panas juga,” katanya kepada Astro AWANI.

Seorang pengunjung dari Bangladesh, Tanjir Ahmad, turut berkongsi pengalaman sama dan berkata beliau membuat persediaan awal bagi mengelakkan keletihan akibat suhu tinggi.

“Hari ini sangat panas, sebelum saya datang ke sini saya minum banyak air, jadi saya okay,” katanya.

Seorang lagi pelancong dari Rusia, Aleksandra Kirillova, berkata suhu di Kuala Lumpur jauh lebih tinggi berbanding St Petersburg yang ketika ini sekitar lima darjah Celsius.

Sementara itu, MetMalaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada Tahap Satu (berjaga-jaga), termasuk seluruh Perlis serta beberapa kawasan di Kedah seperti Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).

Menurut kenyataan itu, gelombang haba Tahap Satu berlaku apabila suhu maksimum harian berada antara 35 hingga 37°C sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, manakala Tahap Dua dicatatkan apabila suhu mencecah 37 hingga 40°C.

Air kelapa jadi pilihan orang ramai

Cuaca panas berterusan sejak Aidilfitri kedua turut meningkatkan permintaan terhadap minuman menyegarkan seperti air kelapa di sekitar ibu negara. 

Peniaga gerai buah kelapa di Kampung Pandan Dalam, Mamik Suparmanto, berkata kedainya menjadi tumpuan pelanggan sejak beberapa hari lalu susulan orang ramai mencari minuman untuk menyejukkan badan.

“Hari kedua ramai yang datang ke kedai. Alhamdulillah, ramai orang. Semalam terjual dua bakul, dalam dua ratus biji,” katanya.

Bagi pelanggan tetap, Mirwasi Anuar, air kelapa mempunyai keistimewaan tersendiri terutama ketika cuaca panas.

“Kadang-kadang kalau demam atau keracunan, air kelapa memang betul-betul membantu. Musim panas ini hari-hari saya singgah. Air lain tak sesuai, air kelapa ini juga yang terbaik,” katanya.

Must Watch Video