IPOH: Sejumlah pam air bergerak dipasang sebagai langkah sementara bagi memastikan bekalan air mencukupi di beberapa kawasan penanaman padi yang dianggap kritikal di Perak berikutan keadaan cuaca panas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Zolkafly Harun berkata pemasangan itu antaranya melibatkan kawasan penanaman padi di Skim Pengairan Seberang Perak yang berkeluasan 8,417.68 hektar.
“Penggunaan pam air bergerak masih mampu menampung bekalan air di kawasan terjejas, namun kebergantungan terhadap sumber air sedia ada (sungai) akan mempengaruhi keberkesanannya dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Zolkafly berkata seramai 5,561 pesawah di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak terjejas susulan fenomena cuaca panas yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Beliau berkata ia merangkumi dua skim utama iaitu Skim Pengairan Seberang Perak dan Skim Pengairan Sungai Manik/Labu Kubong dengan keluasan 4,938.07 hektar.
Selain itu, Zolkafly berkata IADA Seberang Perak juga telah mengemukakan permohonan pinjaman pam air bergerak daripada beberapa agensi berkaitan bagi memastikan semua lokasi terjejas mendapat bekalan mencukupi.
“IADA Seberang Perak memberi jaminan dan menegaskan komitmen penuh untuk memastikan bekalan air mencukupi dan aktiviti pertanian di kawasan terjejas dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan fenomena cuaca panas dijangka berterusan hingga awal Monsun Barat Daya (MBD) pada Jun, susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.
-- BERNAMA