KUALA LUMPUR: Cuaca panas yang berlarutan ketika ini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan ibu bapa berhubung keselamatan dan kesihatan anak-anak di sekolah, terutama risiko strok haba serta ketidakselesaan sepanjang sesi pembelajaran.
Sebahagian ibu bapa turut mempersoalkan tahap kesiapsiagaan sekolah dalam menghadapi keadaan cuaca ekstrem, termasuk keperluan memastikan kemudahan mencukupi agar pelajar berada dalam persekitaran selamat dan kondusif.
Bagi Nurul Asyikin binti Mohd Khairul Hisyam, cuaca panas ketika ini menimbulkan kerisauan berikutan ibu bapa tidak bersama anak-anak sepanjang tempoh persekolahan.
Katanya, risiko strok haba wajar diberi perhatian serius memandangkan keadaan semakin tidak menentu.
"Agak membimbangkan juga kerana sekarang cuaca panas, risau anak-anak terkena strok haba. Tambahan pula kita tidak bersama mereka kerana bekerja, jadi memang ibu bapa sangat risau,” katanya.
Beliau turut menyentuh soal kemudahan sekolah yang dianggap belum memadai, terutama apabila bilangan murid dalam kelas melebihi 30 orang tetapi kelengkapan seperti kipas tidak mencukupi.
Menurutnya, ada ibu bapa yang terpaksa membawa kipas mini sendiri demi keselesaan anak.
Mengulas aktiviti luar bilik darjah, beliau menegaskan ia wajar dikurangkan sepanjang tempoh cuaca panas bagi mengelakkan pelajar terdedah kepada risiko kesihatan yang lebih serius.
Seorang lagi ibu, Seri Yunisa Othman, berkata beliau mengambil langkah awal dengan memastikan anak-anak membawa bekalan air yang mencukupi ke sekolah.
“Kebiasaannya kita pastikan mereka membawa air lebih ke sekolah atau ketika bermain, dan kita pesan supaya minum air itu, bukan sekadar bawa sahaja,” katanya.
Menurutnya, kesan cuaca panas lebih dirasai oleh kanak-kanak.
“Kita sebagai orang dewasa pun sudah rasa tidak selesa, apatah lagi anak-anak. Bila mereka bermain, memang akan mengadu letih dan panas,” ujarnya.
Beliau berharap pihak kerajaan dan sekolah dapat menyalurkan maklumat yang jelas serta mengambil langkah awal bagi menghadapi situasi ini.
“Saya harap kerajaan dapat beri lebih banyak informasi tentang keadaan semasa supaya kita lebih peka, selain menyediakan langkah-langkah supaya kita bersedia jika berlaku apa-apa,” katanya.
Bagi Seri Najwa Jasri pula, beliau bersedia jika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) dilaksanakan semula demi keselesaan pelajar.
Namun, katanya, cabaran kekal wujud termasuk memastikan tumpuan anak ketika belajar serta kekangan masa ibu bapa bekerja untuk memantau mereka.
Sementara itu, Muhammad Zikri Harun menegaskan, ibu bapa turut memainkan peranan memastikan anak-anak kekal sihat dengan mengehadkan aktiviti luar serta memastikan mereka berada di kawasan terlindung.
Beliau menyarankan agar sekolah dan kerajaan lebih giat menggalakkan amalan hidrasi mencukupi dalam kalangan pelajar.
"Saya rasa kerajaan dan pihak sekolah perlu menggalakkan anak-anak minum air yang cukup dan menjalankan aktiviti di tempat yang lebih terlindung,” katanya.