KUALA LUMPUR: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bakal memperkenalkan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia Edisi ke-4 yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), perlindungan kanak-kanak serta tanggungjawab platform.
CMCF dalam satu kenyataan berkata pelaksanaan kod tersebut bertujuan memperkukuh perlindungan kanak-kanak, menyediakan pertimbangan lebih jelas bagi komuniti rentan serta memperkasa tanggungjawab platform, selaras dengan pindaan terkini Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian.
“Selain kod tersebut, CMCF turut membangunkan sub-kod bagi industri permainan dalam talian serta garis panduan baharu untuk pempengaruh dan kandungan janaan AI.
“Langkah ini mencerminkan usaha lebih menyeluruh dalam menangani risiko serta tanggungjawab yang semakin berkembang dalam ekosistem digital.
“Usaha ini juga dilaksanakan dalam konteks peningkatan penglibatan orang awam terhadap isu kandungan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat selepas sambutan ulang tahun ke-25 CMCF bersempena Mesyuarat Agung Tahunan.
Menurut CMCF, pada 2025, Biro Aduannya menerima sebanyak 1,198 aduan, meningkat 57 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan kepekaan orang awam yang semakin tinggi terhadap piawaian kandungan.
Kes yang dibangkitkan merangkumi pengiklanan produk vape dalam kandungan berita, penggunaan bahasa kesat di radio serta paparan babak tidak sopan dalam drama televisyen.
Sementara itu, Pengerusi CMCF, Datuk Rafiq Razali berkata evolusi ekosistem kandungan telah memperkukuh kepentingan kawal selia kendiri.
“Walaupun cara kandungan dicipta, dikongsi dan digunakan telah berubah secara ketara, keperluan terhadap amalan bertanggungjawab kekal konsisten.
“Kawal selia kendiri terus menyediakan kerangka kerja yang praktikal dan adaptif bagi industri mengimbangi inovasi dengan akauntabiliti,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood berkata pada fasa seterusnya, pihaknya akan memberi tumpuan untuk memastikan piawaian kekal relevan dalam persekitaran yang berubah pantas.
“Peranan kami adalah untuk memastikan piawaian sentiasa berkembang seiring perkembangan ekosistem, berpaksikan realiti industri dan kepentingan masyarakat.
“Ini memerlukan kerjasama berterusan merentas platform, pencipta dan komuniti,” katanya.