KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes melibatkan pengasas FashionValet Sdn. Bhd., Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar ditangguhkan selepas pihak pembelaan memohon lanjutan masa bagi menyiapkan laporan audit kewangan.
Peguam mereka, Shaarvin Raaj berkata, pihaknya memerlukan tempoh enam hingga tujuh minggu untuk membolehkan juruaudit dilantik menyiapkan laporan melibatkan dua syarikat, iaitu FashionValet Sdn. Bhd. dan 30 Maple Sdn. Bhd.
Menurutnya, sebanyak 12 jilid dokumen berkaitan perlu diserahkan kepada juruaudit sebelum pernyataan pembelaan dapat disediakan.
“Tarikh bicara yang dijadualkan sebelum ini tidak dapat diteruskan berikutan keperluan melengkapkan laporan audit tersebut,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh baharu perbicaraan bermula pada 20 dan 24 Julai, diikuti 17 dan 18 Ogos, 16 dan 23 Oktober, 3, 20 dan 30 November, 17 dan 18 Disember serta 15, 28 dan 29 Januari 2027.
Dalam perkembangan sama, pihak pembelaan turut memohon agar mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara waktu bagi urusan permohonan visa menunaikan haji.
Shaarvin berkata, permohonan itu dibuat berikutan syarat ketat pihak Kedutaan Arab Saudi yang memerlukan pasport diserahkan sepanjang proses permohonan visa, selain mengambil kira situasi geopolitik semasa.
Pasangan itu dijangka menunaikan ibadah haji bermula 13 Mei hingga 17 Jun ini, sebelum pasport diserahkan semula kepada mahkamah pada 18 Jun.
Terdahulu, Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan membabitkan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu sebagai Pengarah FashionValet dengan membuat pembayaran daripada akaun syarikat kepada 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan lembaga pengarah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Plaza Damansara, Bukit Damansara pada 21 Ogos 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.