Skip to main content

Malaysia

CAKE gesa peniaga pamer tanda harga, KPDN tingkat penguatkuasaan

Yusrizal Yusoff, CAKE, alor setar, pantau harga, ramadan, bernama
Mohamad Yusrizal (kiri) melakukan pemantauan tanda harga pada barangan jualan sempena Ramadan 2026 di Pasar Besar Alor Setar, pada Rabu. - Gambar Bernama

ALOR SETAR:

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan operasi penguatkuasaan selepas pemantauan di Pasar Besar Alor Setar mendapati masih terdapat peniaga yang gagal mematuhi peraturan mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pemantauan dijalankan ketika Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina masih berkuat kuasa namun mendapati beberapa peniaga, khususnya di bahagian sayur-sayuran tidak mempamerkan tanda harga.

Beliau berkata, perkara itu menyukarkan pengguna membuat perbandingan harga serta merancang pembelian mengikut bajet masing-masing.

“Peniaga seharusnya mematuhi peraturan secara sukarela tanpa menunggu tindakan penguatkuasaan kerana paparan tanda harga bukan sahaja melindungi hak pengguna, malah membantu mempromosikan jualan secara telus dan beretika,” katanya ketika meninjau pasar berkenaan, di sini, pada Rabu.

Yusrizal berkata, segelintir peniaga mungkin mengambil kesempatan terhadap pengguna yang pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina serta menjelang Ramadan, justeru berharap KPDN memperhebat pemeriksaan sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, secara keseluruhan pihaknya mendapati tiada kenaikan harga mendadak bagi barangan keperluan utama dan bekalan masih mencukupi untuk menampung keperluan pengguna.

Tinjauan mendapati harga ikan kembung dijual pada harga RM15 hingga RM20 sekilogram manakala harga sayur-sayuran masih terkawal walaupun terdapat peningkatan bagi kacang bendi daripada RM6.50 kepada RM10 sekilogram.

Harga ayam pula sekitar RM9 hingga RM10.50 sekilogram dan daging lembu tempatan RM35 sekilogram. Antara harga sayur-sayuran ialah cili hidup RM17 sekilogram, kubis bulat (RM3.50 sekilogram) dan tomato (RM7 sekilogram).

“Terdapat sedikit peningkatan harga telur selepas tidak lagi disubsidi manakala barangan keperluan lain dijangka berkurangan pada masa hadapan berikutan perayaan yang menjejaskan pergerakan lori penghantaran, namun keadaan itu dijangka bersifat sementara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap umat Islam di negeri itu dapat menyambut Ramadan tahun ini dengan sempurna dan tiada kenaikan harga makanan secara mendadak di bazar Ramadan yang mula beroperasi hari ini.

“Memandangkan penelitian harga barangan mentah antara tahun lepas dan tahun ini menunjukkan tiada peningkatan ketara, ia bukan alasan utama untuk menaikkan harga menu atau kuih-muih di bazar Ramadan seluruh negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video