Skip to main content

Malaysia

Bunuh lima sekeluarga: Saksi terdengar pertengkaran sebelum insiden - Polis

Sumber: BERNAMA
Siasatan awal polis mendapati suspek mencederakan isteri, Nurul Asshiykin, terlebih dahulu dan kemudian ibunya Tuan Kamaria, seterusnya dua anak perempuan mereka sebelum mencederakan diri serta turut maut. --fotoBERNAMA

KUANTAN: Saksi kejadian dalam kes lima sekeluarga maut di kawasan perumahan Cerating Damai, di sini semalam terdengar bunyi pertengkaran sebelum insiden menyayat hati itu berlaku. 

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata saksi yang juga adik bongsu suspek memaklumkan kejadian itu didengari kira-kira 7 pagi semasa dia berada di bilik tidur. 

“Apabila saksi keluar bilik dan menoleh ke arah dapur, didapati ibunya dalam keadaan berlumuran darah dan menjerit supaya dia pergi meminta bantuan bapa saudaranya yang berada di belakang kawasan perumahan sama.

“Saksi kemudian meminta bantuan bapa saudaranya dan setelah tiba di rumah, didapati kesemua mangsa dan suspek berada dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau berkata rumah berkenaan didiami lapan ahli keluarga termasuk suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, isteri seorang suri rumah, dua anak perempuan, ibu serta tiga adik lelakinya, namun semasa kejadian hanya terdapat enam ahli keluarga. 

Ashari berkata semakan mendapati suspek yang berusia 32 tahun tiada sebarang rekod rawatan mental atau kesalahan lampau.

Beliau berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati suspek telah mencederakan isteri, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33, terlebih dahulu dan kemudian ibunya Tuan Kamaria Tuan Puteh, 55, seterusnya dua anak perempuan Nur Saffiyah Humairah, 4, dan Nur Sumayyah Humairah, 2, sebelum mencederakan diri serta turut maut.

Kesan kecederaan terhadap mangsa ditemukan antaranya di bahagian tangan, telinga dan leher manakala polis turut merampas sebilah pisau berukuran 29 sentimeter di lokasi kejadian. 

Difahamkan, bedah siasat terhadap suspek dan isteri telah dijalankan semalam manakala ibu dan dua anaknya bersambung 9 pagi tadi. 

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video