PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang penganggur kerana membunuh ibu kandungnya sebelum jasad wanita itu ditemukan dalam tangki septik di belakang rumah mereka, lapan tahun lepas.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menolak rayuan akhir Mohammad Firdaus Ismail, 37, bagi mengetepikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos 2024.
Hakim Wan Ahmad Farid, dalam keputusan sebulat suara berkata kesalahan dilakukan perayu adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana membunuh ibu yang melahirkannya.
"Perbuatan itu adalah keji dan cela serta cara kesalahan dilakukannya kejam dengan pelupusan mayat si mati telah menambahkan lagi keseriusan kes.
"Oleh itu, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan," katanya yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hashim Hamzah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pada 15 April 2022, Mahkamah Tinggi Butterworth menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohammad Firdaus, yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik, selepas didapati bersalah membunuh Faridah Mat Hashim, 63, di rumah mereka di Lot 191, Mukim D, Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang antara 6.30 pagi dan 8 malam pada 9 Sept 2018.
Faridah, yang dilaporkan hilang, kemudian ditemukan mati dalam tangki septik di belakang rumahnya.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Sept 2018 dengan 12 sebatan rotan.
Terdahulu, peguam Datuk Seri K. Kumaraendran memohon agar mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan perayu telah insaf.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim berkata hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan adalah tidak berlebihan dan mahkamah ini perlu memberikan pemberatan, lebih kepada kepentingan awam.
"Tidak dinafikan adik beradik perayu telah memaafkan perayu, tetapi mereka adalah sebahagian daripada masyarakat dan masyarakat di luar sana perlu mendapat satu mesej yang keras dan jelas atas perbuatan dilakukan perayu.
"Perayu bukan hanya membunuh ibu kandungnya sendiri tetapi meletakkannya ke dalam tangki septik sehingga tujuh hari dan ditemukan dalam keadaan berulat," katanya yang memaklumkan kes itu melibatkan perbicaraan penuh dan tiada pengakuan keinsafan oleh tertuduh.
Beliau berkata terdapat dua serangan di bahagian leher dan ia dilakukan oleh perayu sendiri.
"Mangsa turut mengalami kecederaan akibat luka hirisan dan tikaman di bahagian badan, kepala, muka dan anggota yang lain.
“Jasad mangsa telah reput kerana ditinggalkan agak lama di dalam tangki septik sehingga enam ke tujuh hari. Justeru, adalah tidak wajar untuk meringankan lagi hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan," katanya.
-- BERNAMA