KUALA LUMPUR: Forum Media HAWANA 2026, yang dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), dijadualkan berlangsung esok sebagai platform untuk pihak berkepentingan dalam landskap media menyertai dialog dan bertukar-tukar pandangan berkaitan isu yang membentuk industri berkenaan.
Forum yang akan diadakan di ibu negara itu akan menghimpunkan pemimpin media, wartawan, ahli akademik, pengamal perhubungan awam serta pensyarah dan pelajar dari universiti awam dan swasta.
Sekretariat Forum Media HAWANA 2026 dalam kenyataan memaklumkan, forum itu akan meneliti cabaran dalam mengekalkan kelangsungan organisasi media semasa krisis, khususunya apabila pendapatan semakin terhad, serta membincangkan keperluan wartawan yang terus meningkat dalam menyesuaikan diri dengan landskap media yang semakin kompleks dan berkembang dengan pesat.
Selain itu, forum tersebut akan menekankan kepentingan membentuk ekosistem media Malaysia yang berdaya tahan dan berpandangan jauh, terutamanya dalam konteks era digital dan kebangkitan kecerdasan buatan (AI).
"Beberapa orang Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia akan menyertai forum ini sebagai ahli panel, termasuk mengetuai sesi khas, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh profesionalisme dan tadbir urus dalam industri," menurut kenyataan itu.
Forum yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching itu turut menampilkan wartawan terkemuka dan pakar industri yang akan berkongsi pandangan dan perspektif mereka dalam program yang kini berlangsung selama sehari, bertujuan menggalakkan perbincangan yang lebih dalam dan pertukaran idea yang lebih bermakna.
Forum Media HAWANA 2026 diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 pada 20 Jun.
-- BERNAMA