ALOR SETAR: Kira-kira 40 pemain profesional dan bekas pemain bola sepak profesional kembali menyarung jersi sekolah masing-masing dalam kejohanan FEXIE-SAHOCA Football ADZ Cup 2026 di Stadium Sultan Abdul Halim, di sini.
Mereka yang pernah beraksi di peringkat negeri, Liga Malaysia dan antarabangsa itu berkumpul semula mewakili alma mater masing-masing dalam suasana penuh nostalgia.
Kejohanan anjuran Fexie Wear dan Persatuan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) Kedah itu menghimpunkan lebih 250 pemain alumni daripada lima sekolah di Kedah, dengan kehadiran lebih 1,000 penonton.
Antara yang mencuri tumpuan ialah bekas pemain kebangsaan dan legenda Kedah, Badrol Bakhtiar, selain beberapa pemain yang pernah beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), KL Rovers, Perlis dan Pulau Pinang.
Turut beraksi ialah Samransak Kram, Abdul Hadi Abdul Hamid, Rafiz Abu Bakar, Shafizan Hashim, Fauzi Nan, Redzuan Radzi, Irwan Fadly Idrus, Rafdi Rashid, Al Hafiz Hamzah, Amirul Nizam Mahathir dan Firdaus Faudzi.
Kebanyakan pemain sebelum ini pernah berdepan sebagai lawan ketika mewakili sekolah masing-masing dalam kejohanan peringkat daerah dan negeri.
Presiden SAHOCA Kedah Datuk Muhamad Mahazi Ibrahim berkata kejohanan itu diadakan bagi menghimpunkan semula bekas pelajar yang pernah membentuk sejarah bola sepak sekolah di negeri ini.
“Selepas berpuluh tahun membawa haluan masing-masing, mereka kembali bukan lagi sebagai pesaing, tetapi sebagai alumni yang berkongsi sejarah dan kenangan,” katanya.
Menurut beliau, sambutan yang diterima membuktikan hubungan yang terjalin sejak zaman persekolahan masih kekal utuh.
“Ramai peserta datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak semata-mata untuk menyertai program ini, malah ada yang tidak bertemu rakan lebih 20 tahun.
“Melihat mereka kembali menyarung jersi sekolah merupakan satu pengalaman yang cukup istimewa,” katanya.