Skip to main content

Malaysia

Bekas pelayan restoran warga China didakwa bunuh rakan senegara

71743102937_courtgavel.jpg
Yang Yahong membuat pengakuan tidak bersalah membunuh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Bekas pelayan restoran warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dengan menikam mangsa beberapa kali di sebuah restoran di pusat beli-belah di Cheras, dua tahun lepas.

Yang Yahong, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.

Wanita itu didakwa membunuh rakan sekerjanya, juruwang Zhang Wei, 34, pada 4.30 petang, 29 Nov 2024 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di mahkamah sama, seorang lelaki warga tempatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar 7707.8 gram dadah jenis methamphetamine, tahun lepas.

Kong Mung Kean, 33, didakwa mengedar dadah itu di kawasan tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada 5.40 petang, 24 Julai 2025.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau dipenjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum manakala Kong diwakili peguam Evie Melynda Jee.

Mahkamah menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan kedua-dua kes berkenaan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement