PETALING JAYA: Tragedi yang meragut nyawa seorang bayi perempuan Qaseh Aulia Faizul akhirnya terbela apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas pengasuhnya kerana cuai ketika menjaga bayi berusia tiga bulan tersebut di sebuah taska, tiga tahun lalu.
Hakim, Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mulyati Kalim, 54, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan wanita warga Indonesia itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.
Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM5,000.
Mahkamah juga mengarahkan Mulyati melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.
Kedua-dua hukuman tambahan itu perlu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman pemenjaraan.
Dalam pada itu, beliau menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman berkenaan.
"Mahkamah berpandangan cadangan pemfailan satu rayuan oleh tertuduh bukanlah justifikasi untuk membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.
"Selain itu, mahkamah berpandangan alasan yang dikemukakan terutama tertuduh merupakan pesalah pertama, sentiasa hadir ke mahkamah dan secara konsisten memperbaharui pas lawatan untuk berada di Malaysia, bukanlah termasuk dalam keadaan istimewa yang membolehkan hukuman berkenaan ditunda.
"Oleh itu, permohonan pembelaan untuk bergantung pelaksanaan hukuman ditolak, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara serta-merta," katanya.
Semasa prosiding, peguam, Badrul Munir Bukhari yang mewakili Mulyati, merayu anak guam dikenakan hukuman ringan.
โSuaminya yang juga warga tempatan berusia 62 tahun, bekerja sebagai pengawal keselamatan, perlu menyara tiga anak kandung serta seorang anak angkat.
โSejak insiden ini berlaku pada 10 Oktober 2023, dia tidak bekerja malah ini merupakan kesalahan pertamanya,โ kata peguam.
Selain itu, beliau merayu, mahkamah membenarkan permohonan mereka untuk menangguhkan hukuman, sementara rayuan dikemukakan di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kes ini melibatkan nyawa seorang bayi.
Beliau juga memohon mahkamah mengambil kira, hukuman itu akan memberi pengajaran kepada masyarakat.
Mengikut pertuduhan pindaan, Mulyati didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi itu, telah bertindak secara cuai sehingga membawa kepada kematian, di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, pada 9.36 pagi, 10 Oktober 2023.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, pada jam 9.40 pagi, 10 Oktober 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, ibu bayi itu, Maisarah Rosli, 36, mendakwa, terdapat unsur kecuaian oleh pengasuh kerana meletakkan anaknya dalam posisi meniarap dengan keadaan bayi dibedung serta tiada pemantauan dan pengawasan lebih satu jam. -- Sinar Harian