PUTRAJAYA: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima akan diawalkan dan mula dikredit secara berperingkat mulai 10 Mac ini dengan melibatkan peruntukan RM1.3 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan membuat keputusan menyegerakan bayaran berkenaan bagi meringankan beban rakyat sepanjang bulan Ramadan dan persiapan menjelang perayaan Aidilfitri.
“STR fasa dua ini kita awalkan kerana kita mahu sambut Ramadan dan kita mahu sambut Aidilfitri. Jadi kita awalkan pada 10 Mac 2026, saudara akan dapat dalam akaun STR fasa dua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, pembayaran itu akan dibuat secara berperingkat bermula tarikh berkenaan.
Jumlah penerima bagi Fasa 2 meningkat kepada 5.2 juta, berbanding 5 juta pada Fasa 1.
Bagi Fasa 2, kerajaan menyediakan peruntukan RM1.3 bilion, meningkat daripada RM1.1 bilion pada Fasa 1, Januari lalu.
Ini termasuk 200,000 penerima baharu yang diluluskan dan mereka akan menerima bayaran mulai 30 Mac 2026.
Secara keseluruhan, bantuan STR Fasa 2 akan memanfaatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan, dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.
Perdana Menteri berkata, peluasan penerima STR Fasa 2 membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat bantuan sosial kerajaan, khususnya menjelang perayaan Aidilfitri.