Skip to main content

Malaysia

Australia-Malaysia mahu usaha redakan konflik di Asia Barat, gencatan senjata kekal

PUTRAJAYA, 16 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Australia Anthony Albanese, dengan menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala serta menangani cabaran keselamatan tenaga yang semakin meningkat pada ketika ketegangan geopolitik yang berterusan di Asia Barat.  Pertemuan itu diadakan sejurus selepas Albanese diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, bersempena lawatan rasmi tiga harinya ke Malaysia
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) hari ini mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Australia Anthony Albanese di Putrajaya. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Australia menyatakan kebimbangan terhadap situasi di Asia Barat dan menyeru usaha meredakan ketegangan bagi memastikan kestabilan global terus terpelihara.

Perdana Menterinya, Anthony Albanese, berkata Australia, seperti Malaysia, mahu melihat gencatan senjata dipatuhi sepenuhnya, rundingan diteruskan serta konflik berkenaan diselesaikan secepat mungkin.

Menurut beliau, konflik di Asia Barat yang berterusan telah mencetuskan kejutan bekalan tenaga yang belum pernah berlaku sebelum ini di seluruh dunia.

“Australia bekerjasama rapat dengan rakan strategik termasuk Malaysia dalam memastikan kestabilan bekalan tenaga dan makanan di rantau ini.

“Pada masa sama, bekalan bahan api dan baja dari negara jiran termasuk Malaysia membantu Australia menghasilkan tanaman seperti gandum yang kemudiannya dibekalkan ke rantau ini, sekali gus menyumbang kepada keselamatan makanan Malaysia,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Albanese berkata sebagai rakan strategik komprehensif, kedua-dua negara komited untuk melindungi rakyat masing-masing daripada kesan buruk konflik global melalui kerjasama dalam sektor tenaga dan makanan.

Katanya, Kenyataan Bersama mengenai keselamatan tenaga yang ditandatangani kedua-dua negara akan menjamin aliran berterusan barangan penting termasuk makanan dan tenaga antara Malaysia dan Australia.

Selain itu, beliau berkata kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan perdagangan dan ekonomi termasuk melalui strategi ekonomi Australia untuk Asia Tenggara sehingga tahun 2040, selain pelaburan institusi pendidikan Australia di Malaysia.

Beliau juga menegaskan bahawa rantau Indo-Pasifik merupakan kawasan penting kepada Australia dan negara itu komited untuk terus bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam menghadapi cabaran global.

“Saya yakin hubungan antara Australia dan Malaysia akan terus diperkukuh dan kedua-dua negara akan kekal bekerjasama sebagai rakan dan sahabat dalam tempoh ketidaktentuan global ini,” katanya.

Australia merupakan rakan ekonomi penting bagi Malaysia dengan berada pada kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (AS$18.38 bilion).

Must Watch Video