Skip to main content

Malaysia

ATM perkukuh integriti, kesiapsiagaan menerusi tiga nilai teras

KUALA LUMPUR, 16 Feb -- Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Datuk Malek Razak Sulaiman sewaktu pemeriksaan perbarisan pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 di Dataran PTD Kem Sungai Besi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Malek Razak Sulaiman sewaktu pemeriksaan perbarisan pada Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-24 di Dataran PTD Kem Sungai Besi hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Hala tuju baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berteraskan tiga nilai utama iaitu Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur sebagai asas memperkukuh integriti, tadbir urus serta kesiapsiagaan angkatan itu.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman berkata ATM berdepan cabaran besar yang menjejaskan keyakinan masyarakat seterusnya menuntut kepimpinan untuk berani membetulkan, memperkemas dan menegaskan semula asas kekuatan pasukan.

"Saya akan melaksanakan penataan semula kepimpinan dan tadbir urus secara menyeluruh. Sistem akan diperhalusi, proses akan diperketat serta ruang kelemahan akan ditangani dengan tegas," katanya ketika menyampaikan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Nurazlan Aris dan Panglima Angkatan Bersama Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Beliau berkata tanggungjawab itu wajib dipikul seluruh warga ATM, sama ada pegawai mahupun anggota bagi memastikan angkatan terbabit bukan sekadar gah pada nama, tetapi juga terserlah dalam setiap tindakan.

Malek Razak berkata tujuh tonggak utama turut digariskan berpandukan tiga teras berkenaan dengan tonggak pertama ialah "Warga Berakhlak Tinggi, Tersemai Iman di Sanubari" yang menekankan pembinaan perwira bukan sahaja berilmu tetapi juga bermoral tinggi.

"Seorang anggota yang cekap tetapi longgar amanahnya akan melemahkan disiplin. Sebab itu asasnya ialah akhlak. Kekuatan bukan sekadar fizikal tetapi merangkumi kompetensi, profesionalisme dan ketahanan mental.

"Amanah pula menuntut integriti, disiplin dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Saya mahu dasar pembinaan mental dan kerohanian diperkasakan secara menyeluruh, manakala pendidikan moral dan etika diterapkan sebagai asas ketahanan dalaman," katanya.

Tonggak kedua ialah "Tatakelola Tuntas, Integriti Terpelihara" yang menurutnya menuntut struktur jelas serta pelaksanaan konsisten kerana niat baik semata-mata tidak memadai.

Beliau berkata tonggak ketiga hingga ketujuh merangkumi "Angkatan Masa Hadapan, Pertahankan Ibu Pertiwi"; "Keutuhan Angkatan, Kesiapsiagaan Menyeluruh"; "Cakna Anggota, Keluarga dan Veteran ATM, Berpisah Tiada"; "ATM Bersama Masyarakat, Bagai Aur Dengan Tebing"; dan "Diplomasi Pertahanan Berprinsip, Malaysia Dihormati".

"Di hadapan warga ATM sekalian, saya sekali lagi melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Kerajaan Malaysia.

"ATM akan berdiri teguh sebagai tiang seri pertahanan negara, memelihara kedaulatan, mempertahankan keutuhan wilayah dan menjunjung Perlembagaan tanpa gentar," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video