Skip to main content

Malaysia

Asnida Daim tiba beri keterangan di SPRM

Sumber: Astro AWANI
Asnida dilihat tiba kira-kira 9.50 pagi menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) ditemani dua peguamnya. - Astro AWANI

PUTRAJAYA: Salah seorang daripada empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini bagi memberi keterangan.

Asnida dilihat tiba kira-kira 9.50 pagi menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) ditemani dua peguamnya.

Selain Asnida, tiga lagi anak Daim yang sepatutnya hadir memberi keterangan adalah Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Namun sehingga pukul 10 pagi, tiga lagi anak masih belum kelihatan.

Pada 27 Februari lalu, dalam satu kenyaatan SPRM memaklumkan mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Daim susulan kegagalan memberi maklum balas serta tidak mematuhi dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.

Siasatan Op Godfather dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM juga menjelaskan Notis Kesan Individu yang dikeluarkan pihaknya terhadap empat individu itu bukan satu bentuk hukuman atau senarai dikehendaki.

Sebaliknya kata SPRM, ia merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran individu untuk membantu siasatan.

Siasatan SPRM terhadap Daim dan keluarganya bermula selepas pendedahan Pandora Papers pada 2021 oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) yang mendakwa kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan mereka serta sekutu perniagaan Daim.

Menurutnya, maklumat itu menjadi asas kepada risikan awal dan pembukaan kertas siasatan oleh SPRM pada 2023.

Sepanjang tempoh Jun 2023 hingga November 2023, SPRM menyerahkan notis-notis mengikut Seksyen 36(1)(a) dan 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan anak-anak mereka bagi tujuan pengisytiharan harta.

Must Watch Video