Skip to main content

Malaysia

Anthony Loke gesa siasatan nahas maut Simpang Renggam disegerakan

Kemalangan membabitkan lima kenderaan yang menyebabkan lima individu maut di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang.
Nahas yang mengorbankan lima individu termasuk empat sekeluarga yang menaiki sebuah Toyota Vios. -Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Polis digesa menyegerakan siasatan kemalangan yang meragut lima nyawa di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Johor pada Isnin.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu penting bagi membolehkan kertas siasatan dirujuk segera kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Tindakan pendakwaan yang setimpal perlu diambil terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau menyifatkan tragedi tersebut tidak sepatutnya berlaku dan menegaskan pemanduan berbahaya tidak boleh diterima.

“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh dipandang ringan.

“Lesen memandu bukan kebenaran untuk memandu secara melulu sehingga membahayakan nyawa orang lain,” katanya.

Loke turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 tengah hari itu, seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 secara laju sebelum kenderaan tersebut hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Kenderaan itu kemudian merempuh beberapa kenderaan lain dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan.

Nahas mengorbankan lima individu termasuk empat sekeluarga yang menaiki sebuah Toyota Vios.

Beberapa mangsa lain dilaporkan cedera dan menerima rawatan di hospital.

 

Must Watch Video

Advertisement