Skip to main content

Malaysia

Ambulans bawa pesakit bertembung SUV di lampu isyarat

Kenderaan ambulans yang terbalik akibat bertembung dengan sebuah kenderaan SUV. Foto PDRM
Kenderaan ambulans yang terbalik akibat bertembung dengan sebuah kenderaan SUV. -Foto PDRM

KANGAR: Sebuah ambulans yang membawa seorang pesakit terbalik selepas bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di lampu isyarat Kangar Jaya, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian membabitkan dua kenderaan berkenaan dilaporkan berlaku pada jam kira-kira 8.35 pagi.

"Polis menerima maklumat berhubung kemalangan melibatkan sebuah ambulans dan SUV di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

“Ketika kejadian, ambulans yang dipandu lelaki berusia 38 tahun ini sedang dalam perjalanan dari arah Arau menghala ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar membawa seorang pesakit lelaki berusia 82 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, ambulans berkenaan yang menggunakan siren dan bergerak lurus telah berlanggar dengan sebuah SUV dipandu lelaki berusia 56 tahun.

“Difahamkan, SUV tersebut datang dari arah Kuala Perlis menghala ke Arau selepas lampu isyarat bertukar hijau sebelum berlaku perlanggaran di bahagian kanan kenderaan itu,” katanya.

Akibat kemalangan itu, pemandu ambulans mengalami luka di dahi, manakala pembantu pegawai perubatan mengadu sakit dada.

“Pesakit lelaki berusia 82 tahun pula mengalami luka di belakang kepala, sementara seorang wanita berusia 77 tahun mengalami sakit bahu,” katanya.

Menurutnya, pemandu SUV hanya mengalami calar di tangan kanan, manakala seorang penumpang wanita berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kejadian.

Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Sinar Harian

Must Watch Video