Skip to main content

Malaysia

'Aktiviti Victor Chin wujud sebelum 2018, kenapa kerajaan dulu tidak ambil tindakan?' - Fahmi

KUALA LUMPUR, 31 Mac -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada pelancaran Simposium Penyiaran Digital 2026 (DBS2026) Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) ke-22 di sebuah hotel hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi berkata beliau hairan mengapa kerajaan terdahulu tidak mengambil tindakan lanjut terhadap Victor Chin sedangkan aktiviti itu, menurut Jurucakap Kerajaan Perpaduan dipercayai wujud sebelum 2018 lagi. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kelibat tokoh perniagaan, Victor Chin Boon Loong yang terkait dalam skandal 'mafia korporat' didakwa sudah wujud sebelum 2018 iaitu dalam tempoh beberapa pentadbiran Kerajaan Pusat sebelum ini.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia berdasarkan maklumat diperoleh hasil siasatan pihak berkuasa membabitkan aktiviti pengubahan wang haram.

Rentetan itu, Fahmi berkata beliau hairan mengapa kerajaan sebelum ini tidak mengambil tindakan terhadap pelaku.

“Saya nak sebut Victor Chin tidak melakukan perkara ini sekarang tetapi sudah lama, sejak beberapa pentadbiran yang lalu. Saya tidak ada maklumat tepat tetapi memang Victor wujud sejak sebelum 2018 untuk mengumpulkan jumlah aset, RM475 juta bukan mengambil masa singkat.

"Apa pun saya tak pasti kenapa kerajaan sebelum ini tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap individu ini dan mereka bersekongkol dengan dia. Namun, Kerajaan MADANI ini jugalah yang ambil tindakan,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Simposium Penyiaran Digital anjuran Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik, di sini, pada Selasa.

Pada Isnin, Victor Chin disahkan antara 10 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menerusi Ops Viking dari 15 Oktober 2025 hingga 13 Januari lepas.

Ketua Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Fazlisyam Abd Majid berkata, Viktor Chin telah ditahan pada Disember lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis, namun ahli perniagaan itu mungkin dipanggil semula sekiranya perlu.

Mengenai pembabitan 'Mr R' yang didakwa terkait dengan kegiatan mafia korporat, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, beliau tidak mempunyai maklumat bahawa individu itu adalah ahli PKR.

“Victor Chin mengaku 'Mr R' bukan Ahli Parlimen, jadi saya tak tahu kenapa dia sebut macam itu. Malangnya parti tidak boleh saman. Ada kes duluan yang menunjukkan parti tidak boleh saman. 

“Saya tidak ada maklumat mengenai dakwaan Mr R adalah ahli PKR tapi kenyataan susulan beliau menunjukkan bahawa dia merujuk kepada orang yang bukan Ahli Parlimen. Dia kata seorang yang terbabit dalam syarikat bukan Ahli Parlimen,” ujarnya.

Pada 24 Mac lalu, Victor mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu terkait skandal mafia korporat, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan.

 

Must Watch Video