Skip to main content

Advertisement

Malaysia

Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 benarkan penyedia sedia pinjaman kadar tetap, boleh ubah - BNM

BNM
Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 (HPAA) masih membenarkan penyedia sewa beli untuk menawarkan dua jenis pinjaman iaitu pinjaman berkadar tetap dan pinjaman berkadar boleh ubah, kata Bank Negara Malaysia (BNM). - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 (HPAA) masih membenarkan penyedia sewa beli untuk menawarkan dua jenis pinjaman iaitu pinjaman berkadar tetap dan pinjaman berkadar boleh ubah, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank pusat berkata pelanggan akan terus mempunyai pilihan untuk memilih pinjaman sewa beli sama ada berkadar tetap atau berkadar boleh ubah.

Di bawah Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026, semua pinjaman berkadar tetap dan berkadar boleh ubah akan menggunakan kaedah pengurangan baki, iaitu faedah dikira berdasarkan baki prinsipal yang tertunggak.

“Sebaik sahaja peminjam melunaskan baki pinjaman, tiada caj faedah dikenakan selepas itu. Oleh itu, tidak timbul keperluan untuk pengecualian faedah atau rebat seperti sebelum ini,” katanya menerusi Panduan Pengguna: Lima Sorotan Penting Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang disiarkan di laman web BNM hari ini.

Semalam, bank-bank di Malaysia dilaporkan akan memperkenalkan pindaan utama kepada amalan pembiayaan sewa beli susulan pelaksanaan HPAA berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

HPAA akan memperkenalkan pindaan utama kepada amalan pembiayaan sewa beli.

Pindaan itu termasuk memansuhkan kaedah pengiraan Peraturan 78 untuk penyelesaian awal, struktur kadar faedah tetap yang kini digunakan dalam pembiayaan sewa beli.

Sebagai sebahagian daripada peralihan kepada rangka kerja baharu, bank akan menawarkan diskaun kepada pelanggan layak yang memilih untuk menyelesaikan pembiayaan sewa beli kadar tetap sedia ada mereka lebih awal, menggunakan kaedah Peraturan 78.

BNM berkata HPAA menyediakan fleksibiliti kepada peminjam dan penyedia sewa beli secara persetujuan bersama untuk memilih kaedah pengiraan baki bersih yang perlu dibayar di bawah perjanjian sewa beli mengikut HPAA.

Pelaksanaan ini tertakluk kepada ketersediaan penyedia sewa beli untuk menawarkan kaedah pengurangan baki dalam pengiraan baki pinjaman, bergantung kepada keupayaan dan penambahbaikan sistem dalaman masing-masing.

Menurut BNM, antara isu utama yang dikenal pasti ialah penggunaan kaedah Peraturan 78 di bawah Akta Sewa Beli 1967, yang telah dikritik secara meluas kerana tidak saksama, khususnya kepada peminjam yang membuat penyelesaian awal pinjaman

Bank pusat berkata beberapa negara telah memansuhkan penggunaan kaedah Peraturan 78 disebabkan ketidaksaksamaan sedia ada yang wujud terhadap pengguna kredit dan Malaysia kini selaras dengan amalan terbaik pada peringkat global.

Katanya kaedah pengurangan baki menggantikan kaedah Peraturan 78.

Menerusi kaedah Peraturan 78, caj faedah adalah lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman yang menyebabkan kos faedah yang lebih tinggi pada permulaan tempoh pinjaman serta jumlah baki prinsipal yang lebih besar sekiranya penyelesaian awal dilakukan.

“Kaedah pengurangan baki merupakan langkah yang lebih telus dalam penentuan harga kerana kaedah ini mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pelanggan dengan lebih tepat, dan pada masa sama memastikan hasil yang lebih saksama untuk pengguna,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video