Skip to main content

Malaysia

Aidilfitri: Lebih 6,000 anggota polis lakukan rondaan di taman perumahan, kawasan berisiko

PETALING JAYA, 14 Mac -- Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) beramah mesra bersama anggota polis trafik pada Program Konvoi Iftar Sanjungan Budi Frontliner di Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Yusri (tengah) beramah mesra bersama anggota polis trafik pada Program Konvoi Iftar Sanjungan Budi Frontliner di Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Petaling Jaya, 14 Mac 2026. -- fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Sebanyak 1,732 unit rondaan bermotosikal (URB) dan 1,643 unit kereta peronda (MPV) melibatkan 6,132 anggota polis akan ditugaskan melakukan rondaan di taman perumahan dan kawasan-kawasan berisiko tinggi di seluruh negara bersempena dengan cuti Aidilfitri ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata langkah itu bagi memastikan tiada kejadian jenayah seperti pecah masuk berlaku di kawasan kediaman.

Beliau berkata polis juga akan melakukan rondaan di kawasan yang dijangka mengalami kesesakan trafik bagi memastikan kelancaran perjalanan orang ramai pulang ke kampung.

"Orang ramai yang ingin meninggalkan rumah masing-masing untuk pulang ke kampung dinasihatkan mengisi borang balik kampung secara manual di balai polis berhampiran atau memuat turun aplikasi Volunteer Smartphone Patrol bagi membantu polis menjalankan rondaan dan pemantauan secara berkala," katanya.

Mohd Yusri berkata demikian pada sidang media selepas Program Konvoi Iftar Sanjungan Budi Frontliner di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor DCP Mohd Zaini Abu Hassan dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video