Skip to main content

Malaysia

Agenda keselamatan makanan adalah agenda keselamatan negara - Zahid

71457602495_AhmadZahidHamidi.jpg
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjamin soal keselamatan makanan sama seperti hal keselamatan nasional.

"Kita sudah lihat banyak kes apabila sesebuah negara runtuh, makanan sukar diperoleh kerana soal keselamatan nasional dikompromikan," katanya sambil menegas prasyarat untuk mengekalkan jaminan makanan adalah keselamatan nasional.

Sambil memberitahu isu keselamatan makanan amat dekat di hatinya, beliau berkata  pengeluaran makanan adalah sukar jika sesebuah negara dibelenggu peperangan.

"Saya komited untuk memastikan agenda ini bukan sahaja agenda nasional semata-mata, tetapi juga sebagai agenda serantau malah diperkukuhkan agar agenda keselamatan makanan menjadi realiti," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Serantau untuk Asia dan  Pasifik Ke-33 Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di sini hari ini.

Tambahnya lagi, tiga perkara perlu diberi perhatian bagi memastikan agenda keselamatan makanan menjadi realiti, iaitu merangsang pelaburan sektor swasta dalam pertanian, menangani isu  perubahan iklim dengan pertanian mapan dan mengurangkan kemiskinan dengan memanfaatkan  biodiversiti.

Pada akhir majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan kempen MySaveFood, satu inisiatif  global untuk mengurangkan pembaziran makanan.

Persidangan lima hari yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sejak 7 Mac, dikendalikan Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta dihadiri delegasi daripada 46  negara Asia-Pasifik.

Must Watch Video