Skip to main content

Malaysia

Tiga tahun Kerajaan MADANI, agenda Bumiputera lebih lantang - PM

Anwar MARA 60 1_ASTRO AWANI
Anwar ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa agenda Bumiputera dilaksanakan dengan lebih lantang, tegas, dan berani sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dalam gagasan Kerajaan MADANI, tidak ada ruang bagi fahaman elitisme yang meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sesetengah pihak.

Tegas beliau lagi, rekod pentadbiran setakat ini menjadi bukti jelas bahawa kebajikan dan hak masyarakat Bumiputera sentiasa menjadi keutamaan yang diperjuangkan secara konsisten.

“Sebab itu dalam gagasan kita, saya nak sebut dalam Kerajaan MADANI, tidak ada sama sekali pandangan mendukung elitisme semata-mata atau meminggirkan kepentingan Bumiputera seperti yang diandaikan oleh sebahagian orang.

“Malah saya nak tekankan, saksinya Datuk Seri Zahid (Hamidi), tiga tahun Kerajaan MADANI, program Bumiputera itu lebih lantang, lebih tegas, lebih berani daripada sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 60 Tahun MARA di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Mengulas mengenai kerangka pemikiran besar kerajaan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa sokongan terhadap aspek kecemerlangan (merit) tidak bermakna peluang untuk Bumiputera dikurangkan.

Beliau memberi contoh keputusan kerajaan baru-baru ini yang memberikan tempat automatik di universiti kepada semua pelajar yang memperoleh keputusan 10A ke atas, tanpa mengira latar belakang.

"Tetapi dalam masa yang sama, 90 peratus anak Bumiputera itu tetap diberikan kesempatan untuk program matrikulasi. Jadi jangan bila dalam perbahasan, jangan pilih satu (aspek) sahaja," jelas beliau.

Dalam masa sama, Anwar turut membidas segelintir pihak, termasuk golongan akademik, yang didakwa sengaja membina naratif mengelirukan mengenai peruntukan kuota pendidikan.

Beliau mengingatkan bahawa Program Matrikulasi pada asalnya diwujudkan 100 peratus untuk Bumiputera, sebelum kerajaan membuka ruang 10 peratus bagi membantu anak-anak bukan Melayu yang miskin dan terpinggir.

Sehubungan itu, Perdana Menteri meminta semua pihak agar melihat dasar kerajaan secara menyeluruh dan tidak mencetuskan persepsi 'zero-sum game' yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

 

 

Must Watch Video