Skip to main content

Malaysia

9.2 juta pengguna nikmati insentif cekap tenaga RM2.8 bilion - ST

PUTRAJAYA, 1 April -- Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Siti Safinah Salleh pada sesi taklimat media mengenai Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga (STARR) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Siti Safinah Salleh pada sesi taklimat media mengenai Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga (STARR) hari ini. - Bernama

KUALA LUMPUR: Kira-kira 9.2 juta pengguna elektrik di Semenanjung menikmati Insentif Cekap Tenaga berjumlah RM2.8 bilion sejak diperkenalkan, sebagai langkah mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi krisis tenaga global.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST) Siti Safinah Salleh berkata pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 600 kilowatt jam (kWj) ke bawah turut dikecualikan daripada pelarasan kos Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), sekali gus tidak terjejas dengan turun naik harga bahan api dunia.

"Pengguna dengan penggunaan elektrik bulanan 1,000 kWj ke bawah pula layak menerima Insentif Cekap Tenaga, yang merupakan insentif kerana menggunakan tenaga secara cekap," katanya dalam kenyataan mengenai krisis tenaga global, hari ini. 

Beliau berkata turun naik harga bahan api dunia dijangka memberi impak kepada kos penjanaan tenaga elektrik, namun kesannya masih terkawal melalui kepelbagaian sumber tenaga serta pelarasan kos AFA.

Sementara itu, beliau menyeru rakyat agar menggunakan tenaga secara cekap dan berhemah bagi memastikan kemampanan bekalan tenaga jangka panjang.

"Menyambut saranan Perdana Menteri, kita semua perlu berganding bahu untuk sama-sama menghadapi krisis ini. Sebagai pengguna tenaga, kita disarankan untuk menggunakan elektrik secara cekap dan berhemat, bagi memastikan kemampanan jaminan bekalan tenaga jangka panjang," katanya.

Siti Safinah turut menyarankan kepada pengguna beberapa langkah kecekapan penggunaan tenaga yang praktikal termasuk menetapkan suhu penghawa dingin pada 24 darjah Celsius, menggunakan lampu LED, serta beralih kepada skim Time-of-Use tarif bagi pengguna meter pintar.

Beliau berkata penjimatan elektrik bulanan dianggarkan antara lima hingga 10 peratus melalui penggunaan tenaga yang lebih cekap, khususnya pada waktu luar puncak dari 10 malam hingga 2 petang.

"Amalan ringkas seperti menutup semua suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan juga membantu dalam mengawal penggunaan elektrik. ST juga ingin menggalakkan pengguna tenaga memilih peralatan cekap tenaga yang berlabel 4 atau 5 bintang.

"Amalan penjimatan tenaga bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik, malah menyumbang kepada usaha negara dalam menangani cabaran krisis tenaga global serta memastikan kelestarian sumber tenaga untuk jangka panjang. Jadilah pengguna yang bijak tenaga," katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengumumkan kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada minimum 24 darjah Celsius berikutan krisis tenaga global. 

Sejak 28 Feb lepas, Israel dan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan operasi ketenteraan terhadap Iran yang mengakibatkan bukan sahaja ribuan nyawa telah terkorban malah mencetuskan krisis tenaga di seluruh dunia.

AFA merupakan mekanisme diselaraskan berdasarkan kos pasaran bahan api (gas, arang batu dan lain-lain) dan kadar pertukaran asing, menggantikan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebelum ini, yang digunakan sebagai mekanisme untuk mengira bil elektrik.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video