BALIK PULAU: Seramai kira-kira 8.1 juta rakyat Malaysia telah menebus inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan jumlah perbelanjaan mencecah hampir RM780 juta.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan di seluruh negara.
Malah penambahan barangan kategori sejuk beku inisiatif itu dapat memberi lebih pilihan kepada penerima dalam memenuhi keperluan harian mereka.
"Pendekatan yang kita ambil ialah untuk memberi peluang untuk semua orang menikmati SARA ini dan kalau kita tengok kali ini, untuk SARA, kita dah melebarkan juga kategori barangan yang boleh dibeli.
"Kategori-kategori seperti barangan beku pun dibuka. Jadi di kategori itu pun kita nampak penerimaannya baik sekali dan banyak benda-benda baharu yang dirasakan oleh rakyat," kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Kampung Angkat MADANI (KAM) Pulau Betong serta Sesi Turun Padang Kampung Angkat MADANI di Pulau Betong pada Ahad.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan dijangka akan terus menambah baik pelaksanaan program berkenaan dari semasa ke semasa bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Sementara ketika mengulas mengenai SARA yang tidak ditebus ,peruntukan itu kata beliau akan dipulangkan semula dan disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan.
Beliau menjelaskan, seperti yang diumumkan di Parlimen sebelum ini, sebanyak RM150 juta lebihan peruntukan tahun lalu telah disalurkan kepada program-program khusus untuk golongan rentan.
Antara inisiatif yang menerima manfaat termasuk bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) serta penyediaan peralatan dan peranti perubatan bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik.
Menurutnya, langkah itu selaras dengan prinsip kerajaan untuk memastikan setiap lebihan dana dimanfaatkan sebaiknya, khususnya bagi membantu kumpulan yang memerlukan sokongan tambahan.
Lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas dapat memanfaatkan kredit "one-off" RM100 SARA yang sah digunakan bermula 9 Feb, 2026 sehingga 31 Dis, 2026.
Kerajaan juga bersetuju memperluas kategori barang bagi SARA untuk semua merangkumi makanan sejuk beku selain barangan asas susulan permintaan ramai.