IPOH: Sebanyak kira-kira 80,000 individu menerima manfaat Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) setakat semalam, bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama dengan sasaran 100,000 penerima manfaat menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata jumlah dana yang diperuntukan dan dijamin oleh kerajaan bagi melaksanakan inisiatif berkenaan mencecah RM40 bilion, tertinggi setakat ini.
“Skim ini akan terus diperkasakan bagi membantu golongan yang tidak mempunyai slip gaji tetap, termasuk pekerja gig, untuk memiliki rumah pertama mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian penutup PMR 2026 Perak yang berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini yang berakhir semalam.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai usaha kementerian dalam memastikan kos bahan binaan terkawal susulan krisis tenaga global, Nga berkata KPKT menerusi Jabatan Perumahan Negara akan membantu mencari ikhtiar supaya jumlah kos tersebut tidak akan membebankan.
“Sebab itu, berdasarkan semangat kita teguh bersama, saya juga memohon semua pemain industri (binaan) supaya sama-sama jangan ambil kesempatan, kerana krisis ini krisis dunia yang telah pun membawa musibah dan malapetaka kepada seluruh dunia, tidak terkecuali Malaysia,” katanya.
Sementara itu dalam ucapannya Nga berkata kementerian akan terus berusaha gigih memastikan harga rumah mampu milik kekal stabil walaupun berdepan krisis tersebut.
Pada masa yang sama katanya kementerian turut memantau rapi agar projek-projek perumahan yang sedang dilaksanakan tidak terjejas atau mengalami kelewatan akibat situasi tersebut.
-- BERNAMA