Skip to main content

Malaysia

700 kes kebakaran terbuka direkodkan di Perak sejak Januari hingga Mac - Exco

Kebakaran hutan di Desaru-Pengerang: 60 peratus kawasan masih terbakar
Bomba turut memperkukuh kesiapsiagaan melalui penambahan jentera baharu, pemeriksaan berkala terhadap pili bomba serta rondaan di kawasan dikenal pasti sebagai titik panas kebakaran. - Gambar hiasan

IPOH: Sebanyak 700 kes kebakaran terbuka melibatkan belukar dan lalang direkodkan di Perak bagi tempoh Januari hingga Mac 2026, menjadikannya kategori tertinggi setiap bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata keadaan cuaca panas dan kering ketika ini turut meningkatkan risiko berlakunya kebakaran terbuka di negeri itu.

Beliau berkata berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, beberapa daerah termasuk Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar kini berada pada Tahap 1 (berjaga-jaga), dengan suhu maksimum harian mencecah antara 35 hingga 37 darjah Celsius.

"Selain kebakaran belukar dan lalang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan kebakaran sampah turut mencatatkan 157 kes, dalam tempoh sama.

“Selain itu, kebakaran hutan merekodkan sebanyak 53 kes, manakala kebakaran kebun atau ladang mencatatkan 47 kes," katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Kesedaran Awam Sempena Program MADANI Rakyat JBPM Perak, di sini hari ini.

Justeru, Ng berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka dalam apa jua keadaan serta sentiasa menjaga keselamatan persekitaran.

"Kerajaan negeri juga mengingatkan bahawa tindakan pembakaran terbuka bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat terutama dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pelaksanaan hukuman lebih tegas terhadap kesalahan membuang sampah di tempat awam termasuk denda hingga RM2,000 dan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) antara empat hingga 12 jam sedang dilaksanakan di Perak.

“Secara prinsip, kerajaan negeri bersetuju dengan pelaksanaan itu, namun kita perlu memperhalusi kaedah pelaksanaan termasuk aspek penguatkuasaan dan pihak yang terlibat.

“Kita mempunyai tempoh kira-kira enam bulan untuk menyelaras dan memuktamadkan mekanisme pelaksanaan sebelum boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon berkata JBPM Perak mengekalkan tahap kesiapsiagaan 80 peratus kekuatan anggotanya, yang bersedia pada setiap masa bagi menghadapi risiko kebakaran susulan cuaca panas ketika ini.

Beliau berkata antara 950 hingga 1,000 anggota bomba berada dalam keadaan siap siaga walaupun dalam tempoh musim perayaan, dengan sistem cuti dilaksanakan secara berjadual bagi memastikan operasi tidak terjejas.

"Dalam satu-satu masa, kira-kira 80 peratus anggota tetap bersedia untuk digerakkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika berlaku kebakaran sampah, kebakaran hutan dan sebagainya,” katanya.

Sayani berkata bomba turut memperkukuh kesiapsiagaan melalui penambahan jentera baharu, pemeriksaan berkala terhadap pili bomba serta rondaan di kawasan dikenal pasti sebagai titik panas kebakaran.

"Pemeriksaan turut melibatkan semua aset termasuk jentera dan anggota bagi memastikan operasi pemadaman dapat dilaksanakan dengan cekap.

“Walaupun cuaca panas, kita juga berdepan hujan dan angin kencang pada waktu tertentu. Jadi, kesiapsiagaan kita meliputi kedua-dua situasi cuaca ekstrem ini,” katanya.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video