Skip to main content

Malaysia

347 majikan didenda hampir RM6 juta gaji pendatang tanpa izin

KUALA LUMPUR, 8 April -- Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban bercakap pada sidang media selepas Operasi Bersepadu di sebuah kilang besi Balakong, Cheras hari ini._BERNAMA
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Zakaria Shaaban bercakap pada sidang media selepas Operasi Bersepadu di sebuah kilang besi Balakong, Cheras hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 347 majikan dikenakan kompaun berjumlah RM5,977,500 bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini selepas didapati menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata tindakan tegas itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan berkenaan dalam menangani kedegilan majikan.

Beliau berkata langkah itu juga bertujuan memberikan pengajaran serius kepada pihak majikan agar tidak memandang remeh aspek pematuhan undang-undang negara.

“Tindakan kita akan lebih tertumpu kepada majikan kerana selagi mereka tidak diambil tindakan, warga asing berasakan mereka senang untuk mendapat pekerjaan di negara kita. 

"Jika semua majikan bertanggungjawab dan tidak menggaji pekerja asing secara haram, saya percaya tarikan untuk warga asing datang secara tidak sah akan berkurangan,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Bersepadu di sebuah kilang besi di Balakong, Cheras dekat sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata sebanyak 1,939 majikan telah dikompaun dengan nilai keseluruhan mencecah RM36,646,000 pada tahun lepas.

Berhubung operasi bersepadu bersama-sama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Balakong serta Shah Alam hari ini, beliau berkata sebanyak 162 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 133 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Kesalahan yang dikesan, katanya, termasuklah tiada dokumen perjalanan, pas lawatan yang telah tamat tempoh, serta salah guna pas.

Beliau berkata mereka yang ditahan melibatkan 131 lelaki dan dua wanita berumur antara 20 hingga 45 tahun.

"Jumlah itu melibatkan sebanyak 11 warga Indonesia, Bangladesh (65), India (4), Myanmar (17), Nepal (15), Pakistan (18), China (2), dan Vietnam (1)," katanya.

Dalam operasi sama, JKDM turut merampas beberapa kotak minuman keras dan rokok tidak dibayar cukai yang dipercayai milik warga asing yang ditahan.

Kesemua warga asing terbabit disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video