Skip to main content

Malaysia

2 lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia

61739809710_kaabahhajiarabs.jpg
Kedua-dua jenazah telah diuruskan mengikut prosedur ditetapkan sebelum dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan. - Gambar hiasan/ Reuters

MEKAH: Jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia bagi musim haji tahun ini meningkat kepada lima orang, selepas dua lagi jemaah dilaporkan meninggal dunia di Mekah.

Lembaga Tabung Haji memaklumkan, kedua-dua jemaah berkenaan adalah daripada kumpulan KT12 yang menginap di Hotel Al Kiswah.

Jemaah pertama melibatkan seorang wanita berusia 72 tahun dari Sitiawan, Perak yang hadir ke Tanah Suci bersama sepupunya.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz pada 12 Mei lalu kira-kira jam 12.36 tengah hari akibat pendarahan otak.

Sementara itu, seorang lagi jemaah lelaki berusia 67 tahun dari Kuantan, Pahang turut meninggal dunia pada 13 Mei kira-kira jam 10 malam di Mekah Medical Centre akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham hadir ke Tanah Suci bersama isterinya.

Kedua-dua jenazah telah diuruskan mengikut prosedur ditetapkan sebelum dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan.

Mereka kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di sini.

Dalam kenyataan itu, Tabung Haji turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua Allahyarham serta mendoakan agar mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Must Watch Video