SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menganjurkan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) di 16 lokasi seluruh negeri sepanjang Ramadan tahun ini.
Bazar berkenaan bagi memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan juadah berbuka pada harga berpatutan dalam suasana selesa dan mesra pengguna.
Antara lokasi BRR ialah di Kuala Selangor, Kuala Kubu Baru, Gombak, Kajang, Petaling Jaya, Shah Alam dan Sepang, dengan juadah ditawarkan pada harga RM5 ke bawah.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, inisiatif itu bukan sahaja untuk memudahkan rakyat mendapatkan makanan berbuka, tetapi juga sebagai platform advokasi kepenggunaan.
“Melalui BRR, kami turut menghebahkan saluran Aduan Suri, penggunaan aplikasi Price Catcher, serta kempen KITA GEMPUR, bagi meningkatkan kesedaran pengguna mengenai hak dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam sidang media pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 Peringkat Selangor di BRR Seksyen 17, di sini, pada Isnin.
Muhammad Hanif berkata, inisiatif itu juga sejajar dengan sambutan HPK 2026 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu, Sabah, pada Ahad.
Beliau berkata, bagi memudahkan orang ramai membuat aduan, Van Skuad Tindakan Aduan Resolusi Pengguna (STAR) turut digerakkan sebagai kaunter bergerak di lokasi tumpuan, sekali gus mencerminkan komitmen KPDN Selangor untuk memastikan pengguna terus dilindungi dan celik kepenggunaan.
Menjelas lanjut, Muhammad Hanif berkata, kebanyakan aduan yang diterima sepanjang Ramadan berkaitan harga barangan asas seperti beras, tanda harga tidak jelas dan harga jualan barangan terlalu tinggi di bazar.
“Tahun lepas sahaja, KPDN Selangor menerima kira-kira 3,000 hingga 4,000 aduan, menunjukkan tahap kesedaran pengguna semakin meningkat apabila mereka memahami hak masing-masing dan berani menyalurkan aduan,” katanya.
-- BERNAMA