KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, di sini, pada Isnin membenarkan enam kes menerima wang hasil aktiviti haram bernilai hampir RM2.3 juta membabitkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan lima kes sama berjumlah RM82,000 dihadapi isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin dibicarakan bersama.
Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat selain tidak mendapat bantahan daripada peguam, Aizul Rohan Anuar dan Fahmi Abd Moin yang mewakili Muhammad Hafizuddeain, 58, dan Salwani, 27.
“Mahkamah menetapkan 18 Mei depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen,” katanya.
Semasa prosiding, Mahadi berkata, Muhammad Hafizuddeain sebelum ini dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan kes berkenaan telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.
Katanya, Salwani pula didakwa di dua Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur.
Beliau memohon, supaya semua kes tersebut dibicarakan bersama mengikut peruntukan Seksyen 91 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), Seksyen 165 serta Seksyen 170 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Kes ini melibatkan saksi dan fakta yang sama maka saya mohon ia dibicarakan bersama.
“Pendakwaan juga memohon supaya satu tarikh sebutan kes ditetapkan bagi serahan dokumen," katanya.
Pada 22 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 hingga tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima hasil haram iaitu wang masing-masing RM969,000, RM474,850, RM488,550 dan RM190,000 yang dimasukkan ke dalam tiga akaun bank miliknya.
Kesalahan didakwa dilakukan di beberapa bank berbeza di Jalan Melaka, Jalan Tun Perak dan Bukit Damansara di sini antara 2 Februari 2024 dan 7 November 2025.
Sehari kemudian, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM145,000, tahun lalu.
Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM115,000 dan RM30,000 yang dimasukkan ke akaun bank miliknya.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah bank di Ampang antara 19 September 2024 dan 19 Mei 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pada 22 Januari lalu, Salwani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000, 2024 dan tahun lalu.
Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa sebagai pengawal syarikat Wany Venture, telah menerima hasil aktiviti haram iaitu wang RM50,000, RM7,000 dan dua lagi jumlah masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke akaun bank milik syarikat itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank Damansara Heights, di sini antara 24 November 2024 dan 25 November 2025.
Di Terengganu, pada 26 Januari, wanita itu didakwa atas satu pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Kerteh dekat Besut, pada 16 Januari 2025.
Setiap pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1) (b) AMLATFPUAA 2001 dan dibaca bersama dengan Subseksyen 87(1)(a) akta sama, serta boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta serupa yang membawa hukuman sama.