BEIJING: Presiden China Xi Jinping pada Khamis menyuarakan harapan agar 2026 menjadi “tahun bersejarah dan penting” yang membuka lembaran baharu dalam hubungan China-Amerika Syarikat (AS), menurut Agensi Berita Xinhua.
Jinping berkata China dan AS mempunyai lebih banyak kepentingan bersama berbanding perbezaan, ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden AS Donald Trump yang sedang dalam lawatan ke Beijing.
Beliau berkata kejayaan sesebuah negara harus dilihat sebagai peluang kepada negara lain, manakala hubungan dua hala yang stabil antara Beijing dan Washington membawa manfaat kepada dunia.
Sambil menegaskan bahawa China dan AS wajar menjadi rakan, bukan pesaing, Jinping berkata kedua-dua negara perlu saling membantu untuk berjaya dan mencapai kemakmuran bersama, selain mencari pendekatan yang sesuai bagi membolehkan kuasa-kuasa besar berhubung dengan baik dalam era baharu.
“Saya menantikan perbincangan kita mengenai isu-isu utama yang penting kepada kedua-dua negara dan dunia, serta bekerjasama dengan anda untuk menetapkan hala tuju dan mengemudi bahtera besar hubungan China-AS bagi menjadikan 2026 sebagai tahun bersejarah dan penting yang membuka lembaran baharu dalam hubungan China-AS,” kata Jinping.
-- BERNAMA-XINHUA