WASHINGTON: Seorang warga Latvia yang didakwa anggota kumpulan ransomware dijatuhi hukuman penjara lapan tahun setengah di Amerika Syarikat (AS) kerana mencuri data peribadi daripada puluhan syarikat di seluruh dunia serta melakukan pemerasan, menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ) pada Isnin.
Sputnik/RIA Novosti melaporkan bahawa Deniss Zolotarjovs dijatuhi hukuman penjara selama 102 bulan atas peranannya dalam sebuah organisasi ransomware yang menyasarkan lebih 54 syarikat.
Dalam satu kenyataan, DOJ memaklumkan bahawa jumlah kerugian mungkin melebihi US$56 juta dan boleh mencecah ratusan juta dolar.
Tertuduh didakwa terlibat dalam organisasi itu dari 2021 hingga 2023 sebelum ditahan di Georgia dan dipindahkan ke tahanan AS pada 2024 selepas mencabar proses ekstradisi, menurut kenyataan itu.
Pada 2025, Zolotarjovs mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan penipuan melalui komunikasi elektronik, tambah jabatan itu.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI