BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) berkata pada Sabtu, pihaknya akan memfailkan bantahan rasmi selepas askar Israel memusnahkan kamera pengawasan yang dipasang di ibu pejabatnya di Naqoura, lapor Xinhua.
Jurucakap UNIFIL Candice Ardell berkata dalam kenyataan tentera Israel, sejak Jumaat, memusnahkan semua kamera yang menghadap jalan Menghi di ibu pejabat am misi di Naqoura.
“Kamera diletakkan semata-mata untuk memantau kawasan berhampiran pekarangan UNIFIL, memastikan keselamatan pasukan pengamannya,” kata Ardell.
Ardell berkata UNIFIL telah menyampaikan kebimbangan itu kepada tentera Israel dan akan mengemukakan bantahan rasmi.
Insiden berlaku ketika ketegangan serantau merebak melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, serta insiden berulang baru-baru ini yang menjejaskan kedudukan UNIFIL di selatan Lubnan.
Bernama sebelum ini melaporkan tiga tentera Indonesia terbunuh dalam dua serangan berasingan pada 29 dan 30 Mac semasa berkhidmat di bawah UNIFIL.
-- BERNAMA-XINHUA