Skip to main content

Dunia

'Umpama berunding dengan diri sendiri' - Tehran sindir usaha gencatan senjata AS

REFILE: Iran's IRGC says 14 bases hit, hundreds of U.S. troops killed -- REUTERS
EBRAHIM ZOLFAGHARI: Kata-kata pertama dan terakhir kami tetap sama sejak hari pertama, dan ia akan kekal begitu: Orang seperti kami tidak akan pernah berdamai dengan orang seperti kamu. Tidak sekarang, tidak selama-lamanya. -Foto fail/Reuters

TEHRAN: Jurucakap tentera Iran memperlekehkan usaha Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai perjanjian gencatan senjata, dengan mendakwa bahawa kuasa besar dunia itu kini hanya berunding dengan diri mereka sendiri.

Dalam satu video prarakaman yang disiarkan di televisyen kerajaan pada Rabu, Leftenan Kolonel Ebrahim Zolfaghari menyifatkan kuasa strategik AS kini telah bertukar menjadi "kegagalan strategik".

"Adakah konflik dalaman anda telah mencapai tahap di mana anda kini berunding dengan diri anda sendiri?" soal Ebrahim Zolfaghari dalam kenyataan yang dipetik oleh agensi berita Associated Press.

Beliau turut menegaskan bahawa era janji kosong Washington telah berakhir dan kekalahan pihaknya tidak wajar digambarkan sebagai satu perjanjian.

Kenyataan keras itu menyusul sejurus selepas pentadbiran Donald Trump dilapor menghantar pelan gencatan senjata 15 perkara kepada Iran melalui perantaraan Pakistan.

Ebrahim Zolfaghari menegaskan bahawa pendirian Iran tetap teguh sejak hari pertama dan mereka tidak akan sesekali berkompromi atau mencapai sebarang persetujuan dengan pihak AS, sama ada sekarang mahu pun pada masa hadapan.

“Kata-kata pertama dan terakhir kami tetap sama sejak hari pertama, dan ia akan kekal begitu: Orang seperti kami tidak akan pernah berdamai dengan orang seperti kamu. 

“Tidak sekarang, tidak selama-lamanya,” kata Ebrahim Zolfaghari.

Must Watch Video