ABU DHABI: Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) buat pertama kalinya bersuara mengenai perang yang semakin memuncak di Asia Barat ketika Iran terus melancarkan serangan dron dan peluru berpandu terhadap negara‑negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
“UAE mempunyai kulit yang tebal dan daging yang pahit – kami bukan mangsa yang mudah,” kata Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dalam rakaman yang disiarkan Abu Dhabi TV pada Sabtu ketika beliau melawat pesakit yang cedera di sebuah hospital.
Beliau menegaskan, UAE kini berada dalam “tempoh perang” namun yakin negara itu akan “keluar lebih kuat.”
Dalam satu hantaran di media sosial, Sheikh Mohamed berkata, UAE yang menyaksikan serangan ke atas lapangan terbang, lokasi pelancongan dan Konsulat AS di Dubai bersedia menghadapi “ancaman” terhadap “keselamatan dan perlindungan semua warganegara”.
Seorang pemandu maut selepas kenderaan yang dipandunya dirempuh serpihan projektil yang dipintas di udara, menurut Pejabat Media Dubai.
Mangsa hanya dikenal pasti sebagai warga Asia.
Kenyataan Sheikh Mohamed muncul ketika rantau itu memasuki minggu kedua perang yang tercetus selepas serangan besar-besaran AS-Israel terhadap Iran.
Terdahulu, Presiden Iran Masoud Pezeshkian memohon maaf kepada negara jiran kerana melancarkan serangan ke atas wilayah mereka yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Namun, kenyataan itu segera dinafikan oleh ketua badan kehakiman Iran, Gholamhossein Mohseni Ejei, yang juga anggota majlis kepimpinan interim.
“Bukti daripada angkatan tentera Iran menunjukkan bahawa geografi beberapa negara di rantau ini secara terbuka dan tersembunyi digunakan musuh,” katanya.
“Serangan besar-besaran ke atas sasaran ini akan diteruskan.”
Pezeshkian kemudian menarik balik kenyataan awalnya bahawa negara Teluk tidak akan diserang melainkan serangan bermula dari wilayah mereka.
Beliau menegaskan, walaupun Iran menekankan “hubungan persahabatan”, negara itu tetap mempunyai “hak asas” untuk mempertahankan diri daripada agresi AS-Israel.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, turut memperincikan kenyataan itu di platform X, dengan berkata, “Presiden Pezeshkian menyatakan kesediaan untuk meredakan ketegangan — dengan syarat ruang udara, wilayah dan perairan negara jiran tidak digunakan untuk menyerang rakyat Iran.”
Iran bertindak balas
Kesemua negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) - Arab Saudi, Qatar, UAE, Kuwait, Bahrain dan Oman telah menjadi sasaran akibat kehadiran aset tentera AS di rantau itu.
Serangan-serangan tersebut menjejaskan penerbangan, memaksa penutupan ruang udara, dan mengganggu pengeluaran minyak dan gas yang memberi kesan global.
Pada Sabtu, media Iran melaporkan bahawa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mensasarkan pasukan AS di pangkalan Jufair, Bahrain, sebagai tindakan balas terhadap serangan ke atas loji penyahgaraman air di Pulau Qeshm.
Araghchi menyifatkan serangan AS ke atas loji air itu sebagai “tindakan berbahaya dengan akibat serius”, dan menuduh AS melakukan “jenayah terdesak” yang menjejaskan bekalan air 30 buah kampung.
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf kemudian berkata, serangan itu dilancarkan dengan sokongan salah sebuah pangkalan udara di negara jiran di selatan, sambil menegaskan bahawa negara-negara di rantau itu tidak akan menikmati keamanan selagi AS terus menempatkan pangkalan tenteranya.
Seorang penasihat kanan Majlis Atlantik, Harlan Ullman memberitahu Al Jazeera, serangan terhadap sumber air boleh membawa “kekacauan yang lebih besar” di Teluk.
Menurutnya, kira‑kira 95 peratus bekalan air di negara-negara Teluk berasal daripada loji penyahgaraman, dan jika Iran mensasarkan kemudahan tersebut, “mereka boleh melumpuhkan seluruh Teluk”.b
UAE, yang menjadi tuan rumah kepada pangkalan tentera AS, merupakan negara paling banyak diserang sepanjang konflik berlangsung.
Kementerian Pertahanan Emirat melaporkan, negara itu disasarkan dengan 16 peluru berpandu balistik dan lebih 120 dron.
Beberapa jam selepas permohonan maaf Pezeshkian, IRGC mendakwa dron mereka mengenai pusat pertempuran udara AS di pangkalan al-Dhafra berhampiran Abu Dhabi.
Tidak lama kemudian, satu objek tidak dikenali dipintas berhampiran Lapangan Terbang Dubai — lapangan terbang antarabangsa tersibuk di dunia — menyebabkan operasi ditangguhkan seketika.
Serangan Iran turut mengenai Lapangan Terbang Abu Dhabi, kawasan elit Palm Jumeirah dan hotel mewah Burj Al Arab, manakala serpihan dron menyebabkan kebakaran di Konsulat AS di Dubai.
Pada hari yang sama, tentera Qatar memintas satu serangan peluru berpandu. Di Arab Saudi, kementerian pertahanan berkata sebuah peluru berpandu jatuh di kawasan tidak berpenghuni berhampiran Pangkalan Udara Prince Sultan yang menempatkan tentera AS.
Kuwait turut melaporkan pemintasan sebuah dron manakala syarikat minyak negara itu mengumumkan pengurangan pengeluaran secara “berhati-hati” susulan ancaman terhadap Selat Hormuz, laluan penting eksport hidrokarbon. - Agensi