WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa AS akan menghantar kapal pengangkut pesawat kedua ke Asia Barat dalam usaha meningkatkan tekanan terhadap Iran berhubung program nuklear dan peluru berpandunya.
Trump berkata di White House pada Jumaat bahawa USS Gerald R Ford akan berlepas dari Caribbean ke Asia Barat “dalam masa terdekat”, ketika ketegangan antara Washington dan Tehran kekal tinggi susulan rundingan tidak langsung di Oman minggu lalu.
“Jika kita memerlukannya, kita akan pastikan ia tersedia, satu kekuatan yang sangat besar,” kata Trump, sambil menyatakan keyakinan bahawa rundingan akan “berjaya”, namun memberi amaran ia akan menjadi “hari yang buruk buat Iran” jika negara itu gagal mencapai persetujuan.
Beliau kemudian menambah bahawa pertukaran kerajaan di Iran adalah “perkara terbaik yang boleh berlaku”, merujuk kepada tindakan keras Tehran terhadap protes antikerajaan yang menurutnya telah meragut ribuan nyawa dalam beberapa dekad.
Penghantaran USS Gerald R Ford adalah sebahagian daripada pengumpulan aset tentera AS yang semakin meningkat di rantau tersebut.
Dalam minggu-minggu sebelumnya, AS telah menghantar kapal pengangkut USS Abraham Lincoln, beberapa pemusnah peluru berpandu, jet pejuang dan pesawat pengawasan ke kawasan operasi.
Menurut laporan, penghantaran Ford akan meletakkan dua kapal pengangkut pesawat AS dan kumpulan tempur masing-masing di Asia Barat, menambah tekanan ketenteraan terhadap Iran.
Pengumuman Trump dibuat beberapa hari selepas beliau bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang berkata satu “perjanjian yang baik” mungkin dicapai, namun memberi amaran sekiranya ia tidak merangkumi sekatan terhadap program peluru berpandu Iran.
Tehran pula menegaskan ia tidak akan tunduk kepada tekanan AS berhubung isu tersebut.
Netanyahu sebelum ini berulang kali menggesa tindakan ketenteraan tambahan, terutama selepas perang 12 hari Israel-Iran pada Jun lalu yang menyaksikan AS turut serta dalam serangan terhadap tiga tapak nuklear Iran dalam operasi dinamakan “Midnight Hammer”.
Trump ketika itu mendakwa serangan AS telah “menghapuskan sepenuhnya” fasiliti nuklear berkenaan.
Rundingan tidak langsung antara AS dan Iran di Oman minggu lalu adalah yang pertama sejak konflik Jun itu, yang sebelum ini menghentikan usaha merundingkan pengganti kepada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA), perjanjian nuklear yang ditinggalkan Trump semasa penggal pertamanya.