Skip to main content

Dunia

Trump ugut hantar agen ICE ke lapangan terbang jika pembiayaan DHS tidak diluluskan

FILE - U.S. Customs and Border Protection agents detain a man outside the U.S. Immigration and Customs building during a protest in Portland, Ore., June 14, 2025. (AP Photo/Jenny Kane, File)
Pentadbiran Trump menyalahkan Demokrat atas kelewatan pembiayaan, menuduh mereka enggan meluluskan dana tanpa pembaharuan terhadap ICE. - Foto AP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengugut untuk menghantar agen Immigration and Customs Enforcement (ICE) ke lapangan terbang seluruh negara sekiranya Kongres gagal mencapai persetujuan pembiayaan bagi membuka semula Department of Homeland Security (DHS), yang telah ditutup sebahagiannya sejak pertengahan Februari.

Dalam satu kenyataan di Truth Social pada Sabtu, Trump menulis:

“Saya akan menggerakkan agen ICE yang cemerlang dan patriotik ke lapangan terbang di mana mereka akan melakukan tugas keselamatan seperti yang belum pernah dilihat sebelum ini.”

Beliau turut memberi amaran bahawa langkah itu akan bermula pada Isnin, jika pembiayaan DHS tidak diluluskan segera.

Kegagalan Kongres meluluskan rang undang-undang pembiayaan telah menyebabkan ribuan kakitangan Transportation Security Administration (TSA) bekerja tanpa gaji selama lebih sebulan.

Ini membawa kepada peningkatan besar ketidakhadiran, barisan pemeriksaan keselamatan yang panjang dan lebih 300 pegawai TSA dilaporkan meletak jawatan sejak penutupan bermula.

Beberapa lapangan terbang dilaporkan mengumpulkan kad hadiah dan bekalan makanan untuk membantu kakitangan TSA yang terkesan.

Seorang pegawai serikat pekerja di Dallas, Johnny Jones, berkata ramai kakitangan kini mengalami masalah kewangan serius.

“Akaun bank mereka kosong atau negatif. Tiada duit untuk penjagaan anak, tiada duit untuk makanan,” katanya.

Pentadbiran Trump menyalahkan Demokrat atas kelewatan pembiayaan, menuduh mereka enggan meluluskan dana tanpa pembaharuan terhadap ICE.

Demokrat pula menuntut perubahan kepada taktik penguatkuasaan imigresen, termasuk larangan pemakaian topeng oleh agen, pengenalan diri yang lebih jelas dan peraturan ketat untuk mendapatkan waran,— ekoran insiden dua penduduk Minneapolis yang terbunuh ketika operasi imigresen pada Januari lalu.

Walaupun rundingan antara White House dan senator kedua-dua parti diteruskan, kebuntuan masih berlarutan dengan beberapa rang undang-undang untuk membiayai TSA dan agensi lain gagal diluluskan di Senat.

Walaupun ICE beroperasi di bawah DHS, agensi itu tidak terjejas oleh penutupan kerajaan kerana ia telah menerima pembiayaan berasingan.

Walau bagaimanapun, ancaman Trump untuk menggerakkan agen ICE ke lapangan terbang menimbulkan kebimbangan kerana agen ICE tidak dilatih khusus dalam keselamatan lapangan terbang.

Trump juga mendakwa agen tersebut akan menahan pendatang tanpa dokumen “dengan penekanan terhadap mereka dari Somalia”, kenyataan yang menambah ketegangan politik sedia ada.

Ketika krisis berlarutan, pelancong terus berdepan masa menunggu yang panjang, manakala pekerja TSA terpaksa mengambil kerja kedua bagi menampung kos sara hidup.

Kerajaan pula berdepan tekanan meningkat untuk menamatkan penutupan DHS sebelum gangguan perjalanan udara menjadi lebih kritikal. 
 

Must Watch Video