WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan sebarang perjanjian damai dengan Iran hanya akan dimeterai jika memenuhi “garis merah” yang ditetapkannya, ketika Washington memberi amaran ia bersedia meneruskan semula perang jika rundingan gagal.
Menurut sumber AS, satu draf perjanjian damai antara Washington dan Tehran kini hampir dimuktamadkan dan hanya menunggu kelulusan Trump.
Namun, beliau belum membuat keputusan selepas mengadakan mesyuarat berprofil tinggi di Bilik Situasi White House pada Jumaat.
Seorang pegawai White House berkata Presiden itu akan memastikan sebarang perjanjian yang dicapai benar-benar menguntungkan AS dan mematuhi syarat tegas yang telah ditetapkan.
“Presiden Trump hanya akan membuat perjanjian yang baik untuk Amerika dan memenuhi garis merahnya,” kata pegawai itu, sambil menegaskan Iran tidak boleh sama sekali memiliki senjata nuklear.
Trump menjelaskan dua keutamaan utama dalam rundingan ialah memastikan Iran tidak membangunkan senjata nuklear serta pembukaan semula Selat Hormuz, laluan maritim strategik yang kini menjadi titik tumpuan krisis global.
Beliau turut menuntut agar laluan itu dibuka sepenuhnya tanpa sebarang sekatan atau bayaran tol bagi membolehkan perdagangan global kembali normal.
Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi perdagangan tenaga dunia, dan penutupannya sejak konflik tercetus telah menyebabkan naik turun harga minyak serta tekanan ekonomi global.
Walaupun rundingan dikatakan semakin hampir mencapai kata sepakat, Trump masih belum memberi lampu hijau terhadap perjanjian tersebut selepas mesyuarat selama kira-kira dua jam bersama pasukan keselamatannya.
Sumber diplomatik memaklumkan bahawa draf perjanjian itu merangkumi lanjutan gencatan senjata selama 60 hari bagi memberi ruang kepada rundingan lanjut, termasuk isu program nuklear Iran.
Namun, perbezaan ketara antara kedua-dua pihak masih kekal, khususnya berkaitan kawalan Selat Hormuz dan syarat berkaitan stok uranium Iran.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth memberi amaran bahawa Washington “lebih daripada mampu” untuk menyambung semula tindakan ketenteraan terhadap Iran jika rundingan damai gagal.
Beliau berkata AS mempunyai keupayaan serta bekalan senjata yang mencukupi untuk melaksanakan operasi ketenteraan pada bila-bila masa.
“Kami lebih daripada mampu. Simpanan senjata kami mencukupi untuk itu,” katanya ketika menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Shangri-La di Singapura.
Sementara itu, Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan pasukan tentera AS terus berada dalam keadaan siap siaga di rantau berkenaan.
Menurut kenyataan rasmi, pasukan AS “kekal berada di lapangan dan berwaspada” bagi mempertahankan kepentingan mereka di tengah-tengah ketegangan yang berterusan.
Walaupun usaha diplomatik diteruskan, situasi di rantau Asia Barat kekal tidak menentu dengan insiden serangan balas dan pertukaran tuduhan antara kedua-dua pihak.
Iran pula menolak syarat yang dikenakan Washington, dengan menegaskan rundingan masih berjalan dan tiada perjanjian muktamad dicapai setakat ini.
Dengan tekanan ekonomi global meningkat dan risiko konflik berterusan, keputusan Trump dijangka menjadi penentu sama ada krisis ini akan reda melalui diplomasi atau kembali kepada konfrontasi ketenteraan.