WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan, beliau telah mengarahkan Israel supaya tidak mengulangi serangan terhadap infrastruktur gas asli Iran, selepas siri serangan balas antara kedua-dua negara ke atas kemudahan tenaga menyebabkan harga melonjak dan meningkatkan lagi peperangan AS–Israel terhadap Iran.
Konflik yang tercetus sejak AS dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari lalu selepas rundingan mengenai program nuklear Tehran gagal mencapai persetujuan telah meragut ribuan nyawa, merebak ke negara jiran, serta menjejaskan ekonomi global.
Kenyataan Trump itu hadir ketika harga tenaga meningkat pada Khamis (19 Mac) selepas Iran membalas serangan Israel terhadap sebuah medan gas utama dengan menyerang Ras Laffan Industrial City di Qatar, pusat pemprosesan sekitar satu perlima gas asli cecair dunia (LNG).
Serangan itu menyebabkan kerosakan besar yang dijangka mengambil masa bertahun‑tahun untuk dibaiki.
Pelabuhan utama Arab Saudi di Laut Merah - laluan alternatif eksport negara itu selepas Iran menutup laluan keluar Teluk, Selat Hormuz turut menjadi sasaran.
Insiden tersebut menonjolkan kemampuan Iran untuk terus memberikan tindak balas besar terhadap kempen ketenteraan AS–Israel, selain menunjukkan batas pertahanan udara dalam melindungi aset tenaga paling bernilai di rantau Teluk.
Trump, yang secara politik terdedah kepada kemarahan pengundi akibat kenaikan harga minyak menjelang pilihan raya pertengahan penggal November, turut berang terhadap sekutu-sekutu yang berhati-hati memberi sokongan dalam usaha menjaga keselamatan Selat Hormuz - laluan penting bagi hampir satu perlima bekalan minyak dunia.
Namun Trump menegaskan, beliau sudah mengarahkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, supaya tidak mengulangi serangan terhadap infrastruktur tenaga.
“Saya beritahu beliau, ‘Jangan buat begitu,’ dan beliau tidak akan melakukannya,” katanya kepada wartawan di Pejabat Oval pada Khamis.
Seorang pegawai AS serta tiga individu yang mengetahui perancangan itu memberitahu Reuters bahawa Trump sedang mempertimbangkan untuk menghantar ribuan lagi tentera Amerika ke Asia Barat.
Trump, bagaimanapun, menafikan perkara itu pada Khamis: “Saya tidak akan menghantar tentera ke mana‑mana,” katanya.
Netanyahu kemudian mengesahkan bahawa Israel bertindak secara solo dalam pengeboman medan gas South Pars di Iran dan mengakui Trump telah meminta Israel supaya menangguhkan serangan seumpamanya.
Beliau turut mendakwa bahawa Iran kini sedang “dimusnahkan” dan tidak lagi berupaya memperkaya uranium atau menghasilkan peluru berpandu balistik selepas 20 hari serangan udara AS–Israel.
Namun, katanya, revolusi dalam negara itu tidak akan berlaku dari udara sahaja dan memerlukan “komponen darat.”
Ketika Netanyahu bercakap, Iran melancarkan satu lagi gelombang peluru berpandu ke arah Israel, menurut kenyataan tentera Israel dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
Tentera Israel berkata mereka telah menjalankan lebih 130 serangan ke atas sasaran di barat dan tengah Iran dalam tempoh 24 jam, termasuk pelancar peluru berpandu balistik, dron dan sistem pertahanan udara.
Sementara itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan bahawa mereka telah menumpaskan “rangkaian pengganas” yang dibiayai dan dikendalikan oleh Hezbollah Lebanon dan Iran. - Agensi