BEIRUT: Tragedi Nakbah pada 15 Mei 1948 memaksa rakyat Palestin menjadi pelarian di negara-negara jiran selepas diusir oleh pendatang Zionis Israel, dengan sokongan pentadbiran tentera British ketika itu.
Pelarian Palestin di Lubnan, Thaeer el-Mootasem, 64, berkata rakyat Malaysia antara yang konsisten menghulurkan bantuan melalui misi kemanusiaan ketika kehidupan komuniti pelarian tersepit sejak puluhan tahun lalu.
“Malaysia sentiasa paling terkehadapan sebagai sukarelawan dalam berbicara soal warga Palestin… Mereka mempunyai perasaan yang nyata dalam solidariti bersama Palestin, bukan semata-mata untuk bergaya di hadapan media,” katanya.
Wawancara tersebut diadakan pada 23 Februari ketika beliau menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Karisma Humanitarian Outreach Mission (KHOM) Malaysia yang melaksanakan Misi Bantuan Waris Tragedi Nakbah pada bulan Ramadan.
Thaeer berkata, beberapa sukarelawan Malaysia terdiri daripada doktor, jururawat dan ahli akupunktur telah berada di kem-kem pelarian sejak era 80an, termasuk Tengku Mustafa, Datuk Alijah Gordon, Leya Said dan Dr Ang Swee Chai.
Menurutnya, Dr Ang selaku pakar bedah ortopedik di Hospital Gaza di kem Sabra merupakan saksi mata kepada peristiwa berdarah Sabra dan Shatila pada 16 Sep 1982 yang mengorbankan lebih 3,500 warga Palestin dan Lubnan.
Tragedi itu berlaku akibat serangan kumpulan ekstremis Kristian Phalangist yang didakwa didalangi oleh rejim Zionis ke atas kem-kem pelarian Palestin di Lubnan.
Menyentuh soal peluang ekonomi, Thaeer mengesahkan warga Palestin yang tinggal di 15 kem-kem perlarian masih berdepan pelbagai cabaran termasuk diskriminasi, pengasingan sosial dan sekatan pekerjaan melibatkan 70 jenis pekerjaan.
“Saya nak sara diri, saya tak nak pergi ke masjid kemudian meminta sedekah… kami perlu bekerja untuk hidup,” katanya.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Beirut Business College kini berkhidmat sebagai pemandu di Kedutaan Malaysia di sini.
Thaeer turut menyuarakan harapan agar rakyat Palestin dapat menyumbang kepada pembangunan Lubnan sekiranya sekatan pekerjaan terhadap mereka dihapuskan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Malaysia di Beirut, Johan Arief Mohmad Jaafar, berkata berkata pihaknya mengalu-alukan lebih banyak NGO Malaysia untuk meneruskan misi bantuan di negara berkenaan.
Namun beliau berpendapat, penyaluran bantuan perlu dilakukan dalam suasana yang selamat dan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Pihak kedutaan sentiasa menyambut baik usaha kemanusiaan namun maklumkan kami lebih awal seperti yang diamalkan oleh KHOM Malaysia,” kata Johan.
Sejak 3 Mac lalu, Lubnan dilaporkan sekali lagi menjadi sasaran serangan yang menyebabkan lebih satu juta penduduk terpaksa berpindah, sekali gus meningkatkan keperluan bantuan kemanusiaan.
Pada 19 Mac, Pengarah Misi KHOM Malaysia, Nik Marina Hussin mengumumkan tabung bantuan kemanusiaan untuk menyokong pelarian Palestin di Lubnan telah dibuka susulan konflik berterusan di Asia Barat.