ISTANBUL: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson pada Rabu berkata, Amerika Syarikat (AS) dilihat tidak mempunyai strategi yang jelas dalam perangnya dengan Iran, sekali gus menambah kepada kritikan yang semakin meningkat daripada pemimpin Eropah, lapor Anadolu Ajansi yang memetik penyiar tempatan.
Bercakap kepada Swedish Radio News, Kristersson berkata, masih tidak jelas bagaimana Washington berhasrat mencapai objektif yang dinyatakannya untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
“Buat masa ini, saya sukar melihat sebarang strategi yang jelas di sebalik perkara ini,” kata Kristersson, sambil mempersoalkan hala tuju pendekatan AS.
Kenyataannya dibuat ketika pemimpin Eropah lain turut menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju konflik.
Pada Isnin, Canselor Jerman, Friedrich Merz mengkritik AS kerana tidak mempunyai “strategi keluar” dalam perang Iran, sambil menyatakan yang Washington telah “diaibkan” semasa rundingan dengan Tehran.
Terdahulu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menggesa pendekatan yang lebih serius dan konsisten.
“Ini bukan satu pertunjukan. Kita bercakap tentang perang dan keamanan serta nyawa lelaki dan wanita,” kata Macron, sambil menegaskan: “Dan mungkin anda tidak perlu bercakap setiap hari. Biarkan keadaan menjadi reda.”
AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb, yang mendorong Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kepentingan AS di seluruh rantau itu, kebanyakannya di negara Teluk.
Gencatan senjata diumumkan pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, diikuti rundingan yang diadakan di Islamabad pada 11 hingga 12 April, namun rundingan itu berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Presiden AS, Donald Trump kemudian berkata, gencatan senjata itu dilanjutkan atas permintaan Pakistan sementara menunggu cadangan dari Tehran.
Beliau memberi isyarat pada Isnin bahawa beliau berkemungkinan tidak akan menerima cadangan terbaharu Iran untuk menamatkan perang selepas Tehran mengemukakan pelan untuk membuka semula Selat Hormuz sambil menangguhkan isu program nuklearnya untuk rundingan kemudian.
-- BERNAMA-ANADOLU