BANGKOK: Thailand sedang membuat persiapan untuk memindahkan kumpulan pertama pekerja warga Thailand dari Asia Barat pada 7 Mac ini susulan ketegangan di rantau itu, kata Menteri Buruh Treenuch Thienthong pada Rabu, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Bercakap selepas mesyuarat pusat pemantauan situasi, Treenuch mengesahkan bahawa tiada rakyat Thailand dilaporkan cedera atau terkorban setakat ini.
Kira-kira 300 rakyat Thailand di kawasan berisiko tinggi, terutamanya di Iran, telah memohon untuk dihantar pulang, termasuk sekumpulan 50 buruh yang kesemuanya menyatakan hasrat untuk keluar dari negara berkenaan.
Pendaftaran untuk proses pemindahan itu dijadualkan dibuka pada 5 Mac ini, dengan kumpulan pertama dijangka berlepas pada 7 Mac dan 10 Mac melalui laluan darat ke Turkiye.
Proses kepulangan itu akan diuruskan melalui dua saluran utama. Di bawah rangka kerja kerajaan dengan kerajaan, pegawai sedang meneliti kos tertentu yang akan ditanggung dalam operasi itu, manakala pekerja yang dihantar melalui agensi pengambilan swasta akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.
-- BERNAMA-TNA