MOSCOW: India bersedia untuk menghadapi sebarang krisis tenaga yang mungkin timbul akibat situasi di Asia Barat, memandangkan tentera lautnya kini mengiringi kapal-kapal tangki melalui Selat Hormuz, kata Menteri Pertahanan Rajnath Singh pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Rakyat India yang menetap di negara-negara Teluk tidak perlu bimbang di tengah-tengah konflik yang sedang berlaku di Asia Barat. Kami bukan sahaja berkemampuan, malah bersedia untuk mengambil setiap langkah bagi melindungi dan menjamin keselamatan warga kami.
"Pada masa yang sama, penduduk di dalam negara tidak perlu panik. India mampu mengendalikan sebarang krisis tenaga,” kata Singh semasa berucap pada satu acara di negeri Kerala.
Pada 28 Feb lepas, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang menyebabkan kerosakan serta kematian orang awam. Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di rantau Asia Barat.
Ketegangan di sekitar Iran telah membawa kepada sekatan de facto di Selat Hormuz, laluan utama bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara-negara Teluk Parsi ke pasaran global. Ia turut menjejaskan tahap eksport serta pengeluaran minyak di rantau itu, sekali gus melonjakkan harga bahan api berkenaan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI