Skip to main content

Dunia

Suspek tembakan di jamuan Washington bakal berdepan pertuduhan tambahan

U.S. President Donald Trump holds a press briefing at the White House, following a shooting incident during the annual White House Correspondents’ Association dinner, in Washington, D.C., U.S., April 25, 2026 REUTERS/Jonathan Ernst
Insiden tersebut merupakan ancaman terbaru terhadap Trump, yang sebelum ini telah berdepan dua cubaan serangan ketika kempen Pilihan Raya Presiden AS 2024. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Pihak pendakwa persekutuan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan bahawa pertuduhan tambahan akan difailkan terhadap lelaki yang didakwa melepaskan tembakan di sebuah jamuan di Washington yang turut dihadiri Presiden AS, Donald Trump.

Peguam Negara bagi Daerah Columbia, Jeanine Pirro, memberitahu wartawan pada Isnin bahawa siasatan masih dijalankan dan pertuduhan lanjut akan dikenakan terhadap suspek, Cole Tomas Allen, 31, dari Torrance, California.

Allen kini berdepan pertuduhan serius termasuk cubaan membunuh presiden, yang jika disabitkan kesalahan, boleh membawa hukuman penjara seumur hidup.

Insiden tersebut merupakan ancaman terbaru terhadap Trump, yang sebelum ini telah berdepan dua cubaan serangan ketika kempen Pilihan Raya Presiden AS 2024.

Pemangku Peguam Negara AS, Todd Blanche, menegaskan bahawa keganasan tidak boleh diterima dalam sistem demokrasi negara itu.

“Keganasan tidak mempunyai tempat dalam kehidupan sivil. Ia tidak boleh dan tidak akan digunakan untuk mengganggu institusi demokrasi, dan sama sekali tidak boleh digunakan terhadap Presiden AS,” katanya kepada pemberita selepas prosiding mahkamah.

Pirro turut mengulangi bahawa pihak pendakwaan akan meneruskan tindakan tegas dan memastikan Allen dipertanggungjawabkan sepenuhnya di bawah undang-undang persekutuan.

Insiden tembakan itu telah mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di acara rasmi berprofil tinggi, sekali gus mendorong pihak berkuasa untuk menilai semula langkah keselamatan bagi program rasmi pada masa akan datang.

 

Must Watch Video